AH LONG? Siapa individu ini?
Ah long merupakan orang yang memberi pinjaman wang secara haram dan mengenakan bunga yang sangat tinggi dan biasanya bertindak ganas kepada peminjamnya sekiranya pinjaman tersebut tidak dibayar.
Namun, sedar atau tidak masih ada yang sanggup meminjam wang dengan ah long untuk menjalankan perniagaan dan ada juga yang meminjamnya untuk kewangan keluarga.
Tapi sedar atau tidak apa sahaja niat yang diinginkan ia akan mengundang padah.
Sama ada diugut, dicederakan, rumah disimbah cat dan lain-lain lagi itu adalah antara risiko yang mana pengguna perlu hadapi apabila gagal melunaskan hutang.
Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S.Sasikala Devi berkata, beberapa sebab mengapa ah long ini masih menjadi sumber peminjam adalah kerana faktor ekonomi dan desakan hidup.
Menurutnya, bagi peminjam, ah long ini dilihat mudah tanpa banyak peraturan untuk mendapatkan pinjaman.
“Masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah selain peniaga kecil-kecilan merupakan golongan yang sering menjadi mangsa ah long. Mereka ini tiada tempat lain untuk mendapatkan punca kewangan selain ah long.
“Bagi mereka ia adalah cara mudah dan senang tanpa banyak peraturan dengan mengemukakan dokumen seperti slip gaji dan sebagainya untuk mendapatkan wang,†katanya.
Punca masih ada mangsa membuat pinjaman ah long
Beliau berkata, peminjam ini tiada pilihan dan sekiranya mereka hendak pergi ke institusi kewangan, mereka perlu menunjukkan kewangan yang kukuh untuk bukti pembayaran semula setiap bulan dan sekiranya butiran tersebut tiada, agak sukar untuk membuat pinjaman.
“Oleh itu, ah long menjadi pilihan selain mangsa-mangsa ini yang merasakan mereka mampu untuk membayarnya,†katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan beberapa faktor lain iaitu kehendak dan keperluan. Kos sara hidup yang tinggi telah mempengaruhi bentuk aliran perbelanjaan seseorang. Sementara budaya hidup seseorang banyak dipengaruhi oleh kehendak diri.
“Ramai antara mereka tidak dapat membuat pertimbangan antara keperluan dan kehendak. Kemungkinan kehendak melebihi melebihi keperluan.
“Mereka tidak tahu hendak mengawal perkara itu sekali gus tidak berfikir panjang dan membuat pinjaman ah long,†katanya.
Ah long guna media sosial ‘dekati’ masyarakat
Ah long sering licik dalam ‘mempromosikan’ tawaran pinjaman yang dibuat mereka.
Namun, secara tradisionalnya ah long hanya menggunakan kad, poster, bunting yang diiklankan di papan tanda, hentian bas selain risalah-risalah yang diedarkan di kereta-kereta.
Di dalam era globalisasi dan perubahan teknologi, ah long dilihat lebih mudah untuk menghampiri masyarakat dengan mengiklankannya melalui media sosial seperti Facebook, Wechat dan Instagram yang secara tidak langsung dapat meluaskan promosi mereka kepada orang ramai.
Tambahnya, menurut kajian pihaknya, iklan oleh Ah long tidak akan menayangkan nama syarikat di media sosial. Ini salah satu cara untuk mereka mengeliru dan mencari peluang terhadap mangsa.
“Di sini, orang ramai lebih tahu cara untuk mendapatkan pinjaman dan berdasarkan laporan yang polis terima, mangsa kebanyakan terdiri daripada mereka yang pendapatan sederhana dan rendah.
“Ah long akan menawarkan kadar pinjaman 20 hingga 30 peratus sebulan dan bayaran balik boleh dibuat sama ada mengikut harian, mingguan dan bulanan bergantung kaedah yang ditetapkan antara mangsa dan Ahlong,†kata Puan Sasikala.
Beliau menambah, bagi mengelakkan peminjam menghilangkan diri, ah long akan meminta salinan kad pengenalan dan kad ATM yang mana gaji mangsa masuk ke akaun terbabit.
Ah long turut meminta nombor pin kad ATM itu untuk membuat potongan hutang daripada mangsa.
Jelasnya, di sini mangsa akan terpaksa dan terjerat menyerahkan kad itu.
Selain itu, dilaporkan kad ATM ini juga disalahgunakan ah long untuk kegiatan jenayah lain dan dijadikan sebagai keldai akaun tanpa pengetahuan mangsa.
“Kebanyakan mangsa terdiri daripada mereka yang berusia lingkungan umur 20 ke 50-an. Tapi kebanyakan umur pertengahan 30-an ke atas direkodkan menjadi jumlah tertinggi,†katanya.
Mengulas tentang bentuk keganasan yang ditimbulkan ah long, Sasikala Devi memberitahu, ia timbul apabila mangsa gagal membuat pembayaran. Malah, ada ah long yang akan bertindak memalukan mangsa dengan menayangkan gambar mangsa di pokok-pokok, menyimbah cat, menggantung kepala khinzir di rumah dan sebagainya.
Bagaimanapun, tindakan itu masih membuatkan mangsa gagal untuk membayarnya.
“Ah long tiada cara lain dan undang-undang sivil terhadap mangsa tidak boleh diambil kerana tiada perjanjian bertulis. Jadi, kaedah samseng terpaksa digunakan sabagai salah satu cara untuk mengugut mangsa membuat pembayaran,†katanya.
Ah long telah mula bergerak ke Pantai Timur
Mengulas lanjut, ah long kini dikesan telah mula bergerak ke kawasan Pantai Timur Semenanjung.
“Ini kerana di negeri-negeri terbabit banyak peniaga berskala kecil dan ramai peminjam dengan jumlah yang kecil.
“Kita telah lihat trend terkini dengan ah long ini banyak mengiklankan perkhidmatan mereka di negeri terbabit,†katanya. Jelasnya, pihaknya bagaimanapun sedang mengumpul risikan berhubung modus operandi sindiket ini.
Perbezaan ah long dengan pemberi pinjaman tidak wujud
Pinjaman tidak wujud ini akan mengiklankan tawaran pinjaman wang tanpa perlu bersemuka.
“Peminjam kononnya akan diberi cadangan untuk cara membuat pinjaman wang. Peminjam kemudian akan diberikan beberapa syarat oleh pinjaman ini untuk membuat beberapa yuran pemprosesan pinjaman sebelum mendapatkan pinjaman.
“Mangsa yang terdesak bagaimanapun terpedaya dengan kononnya perlu membuat pembayaran yuran dan sebagainya dan akhirnya tiada sebarang pinjaman diberikan,†katanya.
Katanya lagi, lebih licik lagi, mangsa dan pinjaman tidak wujud ini tidak bersua muka. Sindiket ini dilihat mengambil peluang daripada aktiviti ah long dengan menawarkan cara untuk dapatkan pinjaman.
Adakah ah long kebal undang-undang?
“Di Malaysia ada undang-undang. Pada pendapat saya tiada orang kebal dari segi undang-undang dan sekiranya mereka melakukan kesalahan tindakan akan diambil di bawah undang-undang yang sedia ada.
“Malah andai ada dakwaan ah long ini ‘kebal’, tidak mungkin kita mampu menerima laporan dan kumpul data berhubung kes ini dengan siasatan serta tangkapan,†katanya.
Jelasnya lagi, polis mempunyai undang-undang alternatif untuk memastikan mereka ini tidak terlepas.
Ah long ini terdiri daripada pelbagai lapisan yang berbeza yang mana setiap lapisan mempunyai tugasan yang berbeza iaitu yang mengugut, uruskan pinjaman, ‘runner’ dan lain-lain.
Undang-undang dan penguatkuasaan
Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
i. Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 –
Menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah
ii. Seksyen 29A (A) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 – Mana-mana
individu yang terlibat dalam membantu di dalam perniagaan pemberi pinjam wang
secara haram.
iii. Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 –
Mengganggu peminjam dengan keganasan.
Statistik
Pada tahun 2017 (Januari – Mei) Selangor (90 kes), Kuala Lumpur (90 kes) dan Johor (83 kes) merupakan tiga negeri tertinggi dilaporkan membabitkan kes ah long dengan kerugian mencecah RM48 juta.
Dalam tempoh ini, keseluruhan negeri mencatatkan kerugian RM54.7 juta membabitkan 578 kes dan 354 tangkapan. Pada tahun 2016 (Januari – Mei)
Tiga negeri tertinggi iaitu Kuala Lumpur (123 kes), Selangor (119 kes) dan Johor (106 kes) yang mencatatkan kerugian mencecah RM1.9 juta.
Dalam tempoh ini, keseluruhan negeri mencatatkan kerugian RM5 juta dengan 554 kes dan 209 tangkapan.
Nasihat polis kepada orang ramai
Orang ramai boleh merujuk dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimana hendak menguruskan hutang kerana institusi ini turut menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling.
Bagi mereka yang menjalankan perniagaan, pihak kerajaan ada menyediakan pinjaman mikro kredit di beberapa institusi seperti bank Agro , Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
Selain itu, disarankan juga badan bukan kerajaan (NGO) dan jawatankuasa penduduk untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya ah long dan risikonya.
Untuk menentukan sama ada pemberi pinjam wang berlesen atau tidak, semakan boleh dibuat melalui laman web Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu eMAPS. Alamat laman ialah https://emaps.kpkt.gov.my.
Sumber : Sinar Harian Online