KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan Kondominium Pertiwi Indah, Cheras di sini didakwa melesapkan duit pemilik rumah apabila yuran penyenggaraan tidak ditolak daripada akaun pemilik walaupun bayaran telah dibuat.

Seorang pemilik rumah di Blok B kondominium itu, Zainudin Ismail, 59, berkata, walaupun telah membuat bayaran sebanyak RM5,000 bagi melangsaikan yuran tertunggak, namun pihak pengurusan mendakwa bayaran tersebut tidak diterima oleh mereka.

"Pihak pengurusan cuba memperdayakan saya kerana resit pembayaran yuran penyenggaraan dikeluarkan sendiri oleh mereka ketika bayaran dibuat.

"Malah mereka mengatakan wang tersebut hilang dan menuduh saya tidak membuat bayaran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainudin berkata, dia terkejut apabila menerima bil akaun penyenggaraan didapati jumlah tunggakan sebanyak RM10,000 masih tidak ditolak.

"Sepatutnya baki yuran hanya RM5,000. Perkara ini telah berlanjutan sejak tahun lalu," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Zarith Sazali, 28, berkata, walaupun telah membuat bayaran sebanyak dua kali namun ia tidak dicatatkan di dalam bil akaun yuran penyenggaraannya.

"Bayaran pertama dibuat pada 30 November tahun lalu iaitu sebanyak RM2,500, bayaran kedua RM1,500 dibuat pada 3 Disember tahun lalu...tetapi kedua-duanya tidak dikira oleh pengurusan.

"Masalah ini terjadi apabila bahagian pengurusan kondominium diambil alih oleh syarikat lain," katanya.

Tambah Zarith, pihak pengurusan jelas menipu pemilik rumah apabila bayaran yang diterima tidak dicatat dalam akaun pemilik.

Sementara itu, Rozinna Abidin, 51, berkata, walaupun dia dan suami telah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

"Aduan kami umpama menyiram air ke daun keladi kerana sejak laporan dibuat sampai sekarang masalah ini tidak selesai.

"Malah mereka seolah-olah mahu mengelak apabila pemilik rumah di sini bertanya mengenai perkembangan siasatan mereka," katanya.

Rozinna berkata, dia khuatir jika perkara itu dibiarkan pihak pengurusan akan mengambil kesempatan ke atas pemilik rumah di situ.

"Pihak berkuasa sepatutnya menjalankan tugas dengan betul.”

"Kami berharap pihak berkuasa ambil tindakan segera kerana kami sudah muak dengan sikap pihak pengurusan di sini yang berdolak-dalik apabila ditanya ke mana pergi duit kami," ujarnya.

Sumber :  Utusan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.