KUALA LUMPUR 10 Jun - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan kesal dengan tindakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang sengaja menyalah tafsir kenyataannya mengenai usaha memperkasakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa (EAIC).

Merujuk kepada artikel EAIC ditakdirkan untuk gagal, Tony Pua memberitahu Paul Low yang disiarkan dalam laman portal propembangkang Malaysian Insider, beliau berkata, kenyataannya itu telah dimanipulasikan oleh Tony.

"Seorang remaja pun faham niat saya adalah bukan untuk menyamakan EAIC dalam kerangkanya kini dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2005.

"Malahan, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan barisan Kabinet amat sedar mengenai kelemahan EAIC dan kerajaan menyokong saya untuk menjalankan kajian teliti serta rundingan bagi memperkasakan EAIC dan berkemungkinan melaksanakan beberapa cadangan RCI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Paul Low berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dangkal Tony yang menuduh beliau membuat kesilapan apabila hanya membezakan antara EAIC dan IPCMC sekadar pada namanya.

 Tony juga mendakwa Paul Low telah berpuas hati dengan adanya suruhanjaya aduan khas dalam bentuk EAIC untuk mengawal selia agensi-agensi penguatkuasaan terutama Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP tersebut tidak sewajarnya memanipulasikan kenyataannya bagi menaikkan cadangan IPCMC yang disokong pakatan pembangkang.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkannya semalam ialah barisan Kabinet memutuskan rombakan besar dan penambahan bidang kuasa kepada EAIC adalah pilihan lebih bijak berbanding menubuhkan suruhanjaya baharu seperti IPCMC.

Katanya, penubuhan sebuah suruhanjaya baharu memerlukan tempoh masa untuk menggerakkannya dan perkara lebih utama adalah sebuah agensi bebas yang mempunyai sumber dan pengaruh untuk melaksanakan tanggungjawab secara efektif selepas kelemahan EAIC benar-benar dikenal pasti.

Beliau juga mengalu-alukan pandangan dan cadangan penambahbaikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan di samping Majlis Peguam dan golongan profesional dari luar negara yang dapat berkongsi kepakaran.

"Kita berusaha untuk sebuah suruhanjaya yang berkesan dan mempunyai kuasa menyiasat agensi-agensi penguat kuasa yang lain, sama ada pada akhirnya nama suruhanjaya itu adalah EAICC, PEAIC atau apa-apapun, adakah ia benar-benar penting," katanya.

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.