SIBU 21 Dis. - Kadar indeks jenayah di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus (702 kes) pada 1 Januari hingga 19 Disem­ber tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Dr. Chai Khin Chung berkata, berdasarkan statistik tersebut, kadar jenayah di negeri ini adalah terkawal.

“Kontinjen Sarawak terletak di kedudukan kelapan antara 18 kontinjen polis di seluruh negara.

“Kadar indeks jenayah di Sibu turut menunjukkan penurunan sebanyak 121 kes (8.14 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Op Selamat sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2015 di Pintu Gerbang Sibu, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kese­lamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, Senior Asisten Komisioner Burhanuddin Abdul Majid dan Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner, Mohd. Kamal Kordi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi dua hari pertama Op Selamat dijalankan juga mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Sebanyak 83 kes kemalangan dicatatkan berlaku pada dua hari pertama Op Selamat tahun lalu tetapi pada tahun ini hanya 72 kes dilaporkan.

“Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 13 kes atau 15.3 peratus,” ujarnya.

Khin Chung berkata, pihak polis sentiasa berusaha meningkatkan usaha agar menurunkan kadar jenayah dengan mewujudkan jabatan baharu iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

“Pengwujudan jabatan baharu itu memudahkan perancangan dapat diatur dengan lebih baik dan terancang bagi memastikan peranan kita lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Sumber : Utusan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.