KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir yang kehilangan lesen memandu atau lesen menunggang motosikal mereka rosak boleh mendapatkan lesen yang baharu di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara secara percuma. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, langkah itu adalah bagi mengurangkan beban mangsa banjir yang kehilangan banyak harta benda akibat bencana itu. "Mangsa banjir yang kehilangan lesen ini boleh datang ke pejabat JPJ untuk memperbaharui secara percuma. Biasanya bayaran lesen memandu RM30 manakala  lesen motosikal RM20. "Walaupun jumlah ini kecil, ia dapat meringankan beban mangsa banjir," katanya kepada pemberita sempena Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan Kuala Terengganu di pejabat JPJ, di sini hari ini. Program bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, berjaya menyelesaikan 32 urusan pelbagai kes terutama melibatkan ibu tunggal, pelajar dan golongan kurang berkemampuan. Ismail juga berkata, bermula tahun depan, tugas penguatkuasaan jalan raya akan dibantu Skuad Muda 1 JPJ yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada  agensi penguat kuasa lain seperti JPJ, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia. "Kita sudah merekrut 45,000 anggota skuad itu di seluruh negara dan pengambilan masih dibuka kepada mereka yang menepati syarat, berumur 16 tahun ke atas  serta mempunyai lesen motosikal atau lesen memandu. "Dengan pelaksanaan (inisiatif) ini, akan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih berhemah ketika berada di jalan raya," katanya.     Setakat ini, Terengganu mempunyai kira-kira 1,300 anggota skuad berkenaan. 

Sumber : Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.