JOHOR BAHRU 20 Dis. - Polis telah melakukan 10,300 serbuan terhadap premis pelacuran dan menahan seramai 2,986 wanita disyaki pelacur sejak Januari lalu sehingga kini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 2,884 merupakan rakyat asing manakala bakinya adalah rakyat tempatan.

“Mereka terdiri daripada 627 orang warga China, Thailand (555), Indonesia (229), Filipina (62), India (29), Myanmar (16), Kemboja (13), Sri Lanka (6), Laos (4), Venezuela (1) dan Singapura (1),” katanya selepas me­rasmikan majlis Hari Kesedaran Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Mohd. Mokhtar seterusnya memberitahu, terbaharu, dalam serbuan di dua premis di Stulang Laut di sini semalam, pihaknya menahan seramai 55 wanita warga asing dipercayai pelacur.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, seramai 41 wanita merupakan warga Vietnam dan bakinya, rakyat China yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun.

“Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) itu, seorang wanita warga Vietnam patah kaki selepas terjun dari tingkat empat dipercayai cuba melarikan diri dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Pada serbuan sama, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor turut cedera pada tangan kanan apabila digigit seorang daripada warga asing terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus D7 IPK Johor, Deputi Supritendan Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati semua wanita warga asing terbabit mempunyai dokumen sah, namun menyalahgunakannya dengan bekerja termasuk menawarkan perkhidmatan seks.

Sumber : Utusan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.