KOTA BHARU - Taktik penyeludup menggunakan kereta mewah untuk menyembunyikan kegiatan membawa masuk rokok tiruan berjaya dikesan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan dalam satu serbuan di Kampung Kubang Panjang Pasir Mas di sini petang semalam.
Serbuan yang dilakukan hasil risikan lebih seminggu lalu berjaya merampas sebanyak 1,980 karton rokok dengan nilai rampasan berjumlah RM596,800.
Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, semasa anggota tiba di lokasi terbabit, sekumpulan penyeludup yang berada di kawasan itu, berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihaknya.
"Hasil pemeriksan yang dilakukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire itu, kita berjaya merampas kesemua rokok berkenaan yang diisi dalam 36 kotak besar dalam kereta terbabit.
"Kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.
Rusli berkata, kegiatan terbabit dikesan sejak awal tahun ini dan pihaknya sedaya upaya berusaha mencegah kegiatan berkenaan dengan mengadakan pemantauan secara berterusan.