Kesal ugutan bunuh terhadap anggota JPJ

SERDANG - Cuepacs meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap dua individu yang mengeluarkan perkataan kesat dan ugutan bunuh melalui laman sesawang terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, dua individu terbabit membuat ugutan itu selepas tidak berpuas hati terhadap kenyataan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, baru-baru ini. Beliau berkata, apa yang dimaksudkan oleh Ismail ialah sekiranya tiada langkah penguatkuasaan diambil terhadap pengguna jalan raya, maka unjuran kes kematian pada tahun 2020 akan mencecah kepada 10,716 kematian. "Ketua Pengarah JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa statistik pada 2020 menjangkakan angka kematian akibat kemalangan jalan raya adalah 10,716 orang. "Itu cuma statistik, orang ramai sepatut menerimanya sebagai satu perangkaan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Organisasi Yayasan Pekerja Malaysia (Yapem), di sini hari ini. Azih berkata, JPJ cuba menguatkuasakan undang-undang sedia ada namun telah menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada dua individu itu sehingga sanggup mengeluarkan perkataan kesat dan ugutan bunuh kepada anggota JPJ. "Perbuatan mengugut hingga mengancam keluarga dan anak-anak anggota JPJ merupakan perilaku yang berada di luar norma batasan manusia yang waras," katanya. Sehubungan itu, dua laporan polis dibuat oleh lapan anggota Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam. Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri berkata penyebaran ugutan bunuh dan kata-kata kesat dikesan di laman sesawang sejak tiga hari lepas.

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.