KUCHING - Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan kerana cuba memberi sogokan RM3,000 kepada seorang inspektor polis, dua jam selepas premis perjudian siber haram di sebuah rumah flet di Bintulu diserbu oleh polis, Sabtu lepas.
   
Dalam serbuan pukul 7.50 malam di Sungai Plan, Jalan Tangjung Kidurong, Bintulu, polis menahan dua wanita dipercayai penjaga premis berkenaan dan 11 pelanggan serta merampas 16 unit komputer dan wang tunai RM350.
   
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung berkata susulan serbuan itu, lelaki berkenaan dipercayai pemilik premis perjudian itu menemui inspektor itu di sebuah restoran pada pukul 10 malam pada hari sama dan menawarkan sogokan itu bagi membebaskan pekerja dan pelanggan premis berkenaan.
   
Wang tunai RM3,000 itu dirampas dan kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya pada sidang media di sini hari ini.
   
Chai juga berkata polis turut menyebu sebuah premis perjudian haram yang terletak dalam sebuah rumah kedai di Pasar Asajaya, Kota Semarahan dan menahan tiga lelaki yang dipercayai penjaga premis berkenaan. Katanya, polis turut merampas 16 unit mesin slot perjudian dan wang tunai RM2,700, dipercayai hasil aktiviti perjudian berkenaan.
   
"Kes itu dilkasifikasikan di bawah Seksyen (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, pengusahanya boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas," katanya.
   
Berikutan tindakan tegas ke atas premis perjudian siber di kawasan bandar, beliau berkata pengusaha kini mengalihkan operasi mereka ke kawasan luar bandar.
   
Menurutnya, sejak Januari hingga 18 November lepas, polis telah menahan 2,495 orang dan merampas 11,495 mesin judi dan wang tunai sejumlah RM88,256 dalam 'Ops Dadu' melibatkan 4,241 serbuan di negeri itu.

Sumber : Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.