SHAH ALAM - Seorang sarjan polis yang bakal bersara dua tahun lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperoleh suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang wanita, tiga tahun lepas.
    
Hakim M.Bakri Abd. Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 58, adalah penafian semata-mata dan difikirkan kemudian.
    
Beliau juga berpuas hati pembelaan anggota polis itu gagal mematahkan anggapan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
M.Bakri ketika menjatuhi hukuman turut memerintahkan Abdul Rahman, dari Batu Caves dekat ini, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
    
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
  
Abdul Rahman didakwa memperoleh suapan RM1,000 daripada Tengku Sharipah Aini Tengku Hamzah sebagai dorongan supaya anak wanita itu Engku Mohamad Husaini Engku Mahusin tidak dituduh di mahkamah atas kesalahan mencuri motosikal.
    
Anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak didakwa melakukan kesalahan di Maybank Cawangan Bangi, kira-kira pukul 5 petang pada 11 Mei 2011.
    
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
    
Abdul Rahman juga menghadapi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Terdahulu, dalam rayuan untuk meringankan hukuman, peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira bahawa anak guamnya perlu menanggung tiga daripada lima anaknya yang masih bersekolah serta seorang isteri yang tidak bekerja. Beliau berkata, anak guamnya merupakan pesalah pertama dan telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 37 tahun serta sepatutnya bersara pada 2016.
    
"Akibat sabit kesalahan ini, anak guam saya bukan sahaja berdepan dengan tindakan buang kerja malah akan hilang wang gratuiti berjumlah kira-kira RM150,000 dan wang pencen kira-kira RM2,000 sebulan. Ini merupakan satu bentuk hukuman secara tidak langsung kepada tertuduh," katanya.
    
Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
    
"Walaupun kesalahan pertama, tetapi tertuduh patut tahu perbuatannya ini salah kerana dia sudah lama berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perbuatan tertuduh bukan sahaja mencemarkan namanya sendiri, malah nama baik PDRM," katanya.
  
 Sebelas saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. 

Sumber : Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.