Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 47 pegawai dan anggota masih ditahan kerja.

Beliau berkata, sebanyak 245 kertas siasatan tatatertib telah dibuka melibatkan 290 orang yang terdiri daripada 24 pegawai kanan, 261 anggota pangkat lain dan lima pegawai awam.

“Sebuah jabatan baharu iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah ditubuhkan pada Julai lalu bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penyeliaan, penguatkuasaan dan pemulihan bagi menangani salah laku disiplin dalam kalangan pegawai, anggota dan pegawai awam.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pegawai dan anggota supaya sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni ketika bertugas terutamanya menolak dan terus membenci rasuah,” katanya selepas merasmikan Kempen Tolak Rasuah Peringkat Kontinjen Johor 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Ismail Yatim; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan dan semua ketua jabatan dan ketua polis daerah.

Pada majlis tersebut, seramai 20 pegawai dan anggota polis yang telah menolak rasuah bagi tempoh Januari hingga Jun lalu menerima surat penghargaan.

Dalam pada itu, Mohd. Mokhtar menjelaskan, masalah rasuah banyak mencetuskan kes jenayah seper­ti peras ugut, bunuh dan dendam, sekali gus boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhannya selain menghalang pembentukan integriti dalam sesebuah organisasi serta penguatkuasaan.

Ujar beliau, ramai dalam kala­ngan pelaku rasuah memahami bahawa amalan itu sebagai amalan biasa namun tanpa mereka sedar, tindakan berkenaan adalah satu jenayah dan boleh dikenakan tindakan serta hukuman.

“Usaha menghapuskan amalan rasuah bukan sesuatu yang mudah kerana kita perlu lebih berinovatif dengan memperkukuhkan modal insan yang sedia ada bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan serta memaksimumkan tenaga kerja sedia ada,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia