SARIKEI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram dan kali ini di kawasan Loba Lepah Paloh, Batang Rejang di sini, hari ini.

Dalam operasi pukul 11 pagi itu, sepasukan empat anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, menemukan 2,000 batang kayu balak pelbagai jenis yang dipercayai ditebang secara haram, dianggarkan bernilai RM202,500.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Kalai Chelvan berkata, longgokan kayu balak itu dijumpai anggotanya semasa menjalankan Ops Pensura Siri : 145/14' di Sungai Batang Rejang dengan menaiki sebuah bot jenis PAC 769.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua kayu balak yang sudah siap disusun itu dipercayai dalam proses mahu diangkut dan dijual di tepi sungai berkenaan.

“Kayu balak itu dipercayai diperoleh secara haram tetapi tiada pekerja dijumpai di kem pembalakan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua kayu balak yang dirampas itu telah diserahkan kepada Jabatan Hutan negeri untuk tindakan lanjut.

Kata beliau, pihaknya akan meneruskan usaha mengesan kem pembalakan haram di kawasan lain di seluruh negeri ini bagi memastikan aktiviti menyalahi undang-undang itu dapat dibendung.
 

Sumber : Utusan Malaysia

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.