KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melaksanakan tindakan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan secara berterusan termasuk pada hari biasa untuk melindungi pengguna daripada ditipu oleh peniaga.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, penguatkuasaan secara konsisten skim kawalan harga itu perlu dilaksanakan bagi melindungi orang ramai daripada peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan ketika bukan musim perayaan.

“Perkara tersebut perlu dilakukan disebabkan banyak peniaga didapati cuba mengambil kesempatan atas tindakan rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan apabila mereka cuba menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

“Hal ini kerana skim kawalan harga musim perayaan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2000 adalah satu tindakan cukup bagus bagi melindungi pengguna,” katanya ketika membahaskan Bajet 2015 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Irmohizam turut mencadangkan penubuhan Rakan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (RPK) sebagai satu wadah bagi menjalin kerjasama antara pihak kementerian dengan masyarakat.

“Penubuhan ini amat penting bagi membentuk kerjasama membendung masalah ini (harga barang) dengan lebih berkesan.

“Pendekatan ini lebih mudah dan praktikal kerana boleh dilakukan dengan menggunakan kemudahan telekomunikasi terkini seperti telefon, komputer dan e-mel sebagai medium perantaraan antara kementerian dengan orang ramai,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.