Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan tanah tinggi itu hari ini mendapati tidak kelihatan kelibat warga asing ‘melepak’ dan berjalan-jalan di kawasan awam termasuk di Tanah Rata dan Brinchang.

Hasil pendedahan dibuat Utusan Malaysia juga menyaksikan kebanyakan ladang-ladang pertanian dilihat sunyi tanpa kelibat ramai pekerja warga asing khususnya Bangladesh.

Pusat penjualan hasil tanah tinggi yang terkenal di sini iaitu Kea Farm juga tidak kelihatan kelibat pekerja warga asing khususnya Bangladesh yang biasanya bekerja di gerai-gerai jualan terbabit.

Malah lebih mengejutkan apabila banyak kedai termasuk yang sebelum ini diusahakan warga asing seperti kedai runcit telah ditutup manakala terdapat juga kedai-kedai yang sebelum ini mengupah warga asing terpaksa ditutup.

Difahamkan sebelum ini kebanyakan warga asing yang terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Thailand membanjiri daerah ini dengan bekerja di ladang, restoran, pusat urut malah ada yang menyedia perkhidmatan teksi secara haram atau dikenali sebagai ‘prebet sapu’.

Menurut sumber, ekoran daripada serbuan dilakukan menyebabkan majikan terbabit kini ketakutan dan memberhentikan khidmat pekerja asing sama ada yang tidak mempunyai permit atau menggunakan permit untuk aktiviti yang salah.

Difahamkan warga asing ini mengambil kesempatan melarikan diri ke luar daerah ini yang bebas daripada sebarang operasi.

Seorang peniaga gerai di Tanah Rata, Zakaria Ali, 58, berkata, ‘kehilangan’ warga asing di sini tidak menghairankan memandangkan operasi besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, bukan sahaja di jalanan warga asing yang sebelum ini bekerja di premis perniagaan se­perti restoran juga kini telah ‘hilang’ menyebabkan banyak premis perniagaan kini kekurangan pekerja.

Sementara itu, seorang peniaga di Kea Farm, Izat Yaakob, 20, berkata, dia pada mulanya agak pelik apabila menyaksikan kekurangan pekerja asing khususnya di kawasan Kea Farm.

Namun katanya, dia yakin operasi yang baharu dilakukan pihak berkuasa menyebabkan ramai pekerja asing bertindak menyembunyikan diri.

Sumber : Utusan Online