KUALA LUMPUR -- Audit Negara, melalui pengauditan yang dijalankan pada Disember 2013 sehingga April 2014, mendapati Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mewujudkan struktur organisasi yang baik dan mempunyai sumber manusia yang mencukupi. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 siri 3 turut mendedahkan bahawa Kastam telah menyediakan prosedur operasi standard dan penambahbaikan yang telah memberikan impak yang positif dan memudahkan urusan pelanggan, di samping memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Melalui pengauditan yang dijalankan di Bahagian Perkastaman ibu pejabat Kastam dan lima pejabat Kastam negeri, Audit Negara mendapati bahawa Kastam telah melaksanakan modul Kawalan Ejen pada Sistem Maklumat Kastam. Audit Negara mendapati bahawa modul tersebut boleh digunakan oleh unit kawalan kerja untuk mengintegrasikan dan mengawal kesemua ejen yang berdaftar dengan Kastam. Subsistem ini digunakan untuk memproses permohonan pendaftaran lesen ejen penghantaran dan perkapalan, memperbaharui lesen, mengemas kini status ejen, mengemas kini pelanggan kepada ejen dan memproses jaminan bon. Semakan audit terhadap unit kawalan kerja di lima negeri yang dilawati mendapati penggunaan modul kawalan ejen dalam Sistem Maklumat Kastam telah dimanfaatkan sepenuhnya dan dikendalikan oleh pegawai Kastam terlatih. Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang boleh menjejaskan keberkesanan pengurusan kawalan ejen kastam. Justeru, Audit Negara mengesyorkan supaya Kastam memberi perhatian dalam memastikan ejen-ejen Kastam mematuhi syarat lesen, iaitu dari segi penyertaan Bumiputera dan kehadiran sebelum permohonan pembaharuan lesen diluluskan. Kastam juga harus memastikan setiap unit kawalan kerjanya mengemukakan laporan mengenai kesalahan-kesalahan dan pelanggaran undang-undang oleh ejen-ejen setiap tiga bulan sekali kepada urus setia panel disiplin ejen. Audit Negara juga mengesyorkan Kastam mengambil tindakan terhadap semua ejennya yang tidak aktif atau telah berulang kali melakukan kesalahan atau pelanggaran akta atau peraturan.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.