SEPANG -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk mata wang asing bernilai AS$97,500 atau RM320,701.88 yang disembunyikan dalam 'teddy bear'. Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, ekoran penemuan itu dua lelaki warga Afrika yang sepatutnya menerima empat 'teddy bear', yang diisi dalam dua kotak bungkusan dari Amerika Syarikat itu, ditahan pada 28 Okt di Puchong. Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata hasil maklumat dan risikan mendapati dua kotak bungkusan itu tiba melalui perkhidmatan 'parcel courier' di Kargo Mas, KLIA. "Selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat mata wang asing yang dimasukkan dalam stokin dan plastik dalam 'teddy bear' itu dan didapati mata wang asing itu asli dan sah diperdagangkan. "Kita tidak pasti wang itu diseludup untuk apa. Namun kita bimbang ia digunakan untuk membiayai kegiatan pengganas atau perkara yang menyalahi undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Khazali berkata kedua-dua suspek yang berusia 20-an direman selama tujuh hari dan dituduh di bawah Seksyen 135 (1)(E) Akta Kastam 1967 dimana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih besar. Menurutnya sejak Januari hingga Oktober tahun ini, JKDM berjaya memperolehi lima kes melibatkan cubaan menyeludup mata wang dengan jumlah RM2.08 juta dengan JKDM KLIA memperolehi empat kes, manakala satu kes oleh JKDM Johor. Dalam perkembangan lain Khazali berkata pihaknya berjaya mematahkan 61 cubaan menyeludup dan mengedar dadah melibatkan 552.63 kilogram (kg) bernilai RM80,376,442.50 dari Januari hingga Oktober tahun ini. "KLIA menjadi tumpuan penyeludupan dengan membuat rampasan terbesar iaitu 27 kes melibatkan dadah seberat 343.84 kg bernilai RM55,357,092.00, diikuti cawangan narkotik ibu pejabat (tujuh kes), Selangor (10 kes), Kedah (lapan kes), Sabah (tiga kes), Perak (dua kes), manakala Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Perlis masing-masing satu kes," katanya. Khazali berkata kes terbaru di KLIA melibatkan penahanan warga Filipina berumur 30-an di balai ketibaan KLIA pada 28 Okt selepas imbasan mendapati terdapat imej mencurigakan pada kotak yang dibawanya yang diisi 'water heater'. Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang tiba dari Hong Kong itu membawa methamphetamine dengan berat kasar 3.5 kg bernilai RM655,000 yang disorokkan dalam bungkusan plastik pada 'water heater' itu, katanya. Khazali berkata lelaki berkenaan ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan dituduh di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Sumber : Bernama Online