KUALA LUMPUR – Operasi membanteras penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi melalui Ops Titik bermula 15 Mei lalu berjaya merampas sebanyak RM214.5 juta bahan bakar itu termasuk wang tunai bernilai RM949,929 dan 18 buah kapal yang dianggarkan bernilai RM172 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sehingga 30 Oktober lalu, sebanyak 473 cubaan menyeleweng bahan api bersubsidi berjaya dipatahkan yang membawa kepada rampasan sebanyak RM21.86 juta.

Katanya, hasil operasi pegawai kementeriannya bersama Jabatan Peguam Negara pula, sebanyak 58 kes berjaya dipatahkan dengan kejayaan merampas petrol, diesel dan gas petroleum sebanyak RM19.7 juta.

“Kertas siasatan turut dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi menyiasat wang tunai yang dirampas termasuk di dalam akaun yang dibekukan kerana dipercayai hasil daripada kegiatan penyelewengan itu.

“Ops Titik yang dijalankan secara berterusan ini berjaya mengurangkan tanggungan diesel bersubsidi oleh kerajaan kerana penggunaan di seluruh negara telah berjaya diturunkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz(BN-Tanah Merah) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan tambahannya, Ikmal turut memuji ketegasan kerajaan membendung masalah berkenaan selain sikap tenang kementerian walaupun mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak selepas isu penyelewengan bahan bakar bersubsidi itu dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia secara berterusan sejak dua bulan lalu.

Menurut Hasan, dalam tempoh lima bulan Ops Titik, penggunaan diesel bersubsidi menurun sebanyak 565.46 juta liter membabitkan penjimatan wang kerajaan bernilai RM361.59 juta.

“Masalah kehabisan stok diesel yang selalu berlaku di stesen minyak setiap kali hujung bulan kini tiada lagi.

“Ini memberi gambaran masalah kebocoran diesel bersubsidi yang disebabkan aktiviti penyelewengan sudah berkurangan dan dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu katanya, pelaksanaan had kuota jualan petrol RON95 di 56 stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand turut memberi impak positif dengan penjimatan subsidi berjumlah RM2.37 juta.

Tambahnya, sebanyak 28,070 kilogram gas dan cecair petroleum yang bernilai RM74,317.86 telah disita sehingga menyelamatkan RM45,470 wang subsidi kerajaan.

“Sebagai langkah pencegahan, kementerian tidak membenarkan semua kes yang dipatahkan diberi kompaun sebaliknya penjenayah terlibat dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa.

“Selain itu, kerajaan sedang mengkaji untuk meningkatkan jumlah denda yang boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata Hasan.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.