GEORGE TOWN -- Polis Pulau Pinang akan terus memerangi aktiviti mesin judi haram di negeri ini dalam usaha membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa. Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata polis menjalankan operasi membanteras kegiatan mesin judi haram terutama Ops Dadu setiap hari dan bukan hanya pada hujung minggu. "Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) telah beri arahan (untuk banteras kegiatan judi haram), kami di kontinjen Pulau Pinang akan peranginya habis-habisan. "Kami juga ada pasukan khas untuk membuat serbuan...setiap hari kami buat 10 hingga 20 serbuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Anak-Anakku Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu. Pada majlis itu, 70 anak-anak istimewa anggota, pegawai dan kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang diraikan. Thaiveegan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti perjudian di negeri ini supaya menyalurkan kepada polis bagi memastikan kegiatan itu dapat dibanteras. "Setiap pihak bertanggungajwab termasuk pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan masing-masing, mereka yang mengeluarkan lesen dan beri kelulusan pun kena terlibat bagi banteras kegiatan itu," katanya. Ditanya mengenai kes pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau yang mendakwa dipukul sekumpulan pelajar maktab itu Rabu lepas, Thaiveegan berkata polis kini menunggu laporan perubatan pelajar berkenaan sebelum melengkapkan kertas siasatan dan diserah kepada Ketua Unit Pendakwaan. Sehingga kini, polis merekodkan 15 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk warden asrama, penyelia dan guru MRSM, katanya menambah lapan pelajar yang dibebaskan dengan jaminan polis Isnin lepas akan dipanggil pada bila-bila masa bagi membantu siasatan. Dalam kejadian antara 11.45 malam dan 1 pagi itu, seorang pelajar mendakwa dipukul sehingga patah tulung rusuk. Pelajar itu turut mendakwa dicederakan menggunakan seterika panas di kedua-dua bahu selain tubuhnya dipijak. Akibat kecederaan itu, pelajar yang berasal dari Klang, Selangor itu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Sumber : Bernama