KUALA LUMPUR – Kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggempur kegiatan judi haram melalui Op Dadu ‘Total Enforcement, Zero Tollerence’ membuahkan hasil apabila 331 individu yang terlibat diberkas dalam 2,345 serbuan di seluruh negara dalam tempoh tiga hari bermula Ahad lalu.

Dalam tempoh itu, 2,669 mesin judi dan wang tunai RM26,327 dirampas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, tangkapan tertinggi dibuat di Johor dengan 131 orang diikuti Selangor (50), Kuala Lumpur (41), Negeri Sembilan (32), Sarawak (25) dan Melaka (24).

Beliau berkata, di Pulau Pinang pula sebanyak 13 tangkapan dibuat, Kedah (9), Sabah (2), Terengganu (2), Perak (1) dan Pahang (1).

Menurut beliau, serbuan tertinggi pula dilakukan di Selangor dengan 871 serbuan diikuti Negeri Sembilan (639), Sarawak (201), Pulau Pinang (128), Kuala Lumpur (127). Johor (114), Pahang (84), Perak (65), Kedah (55), Sabah (29), Kelantan (17), Melaka (14) dan Terengganu (1).

“Kebanyakan serbu­an dibuat di kafe siber dan pihaknya tidak pernah menghentikan usaha memerangi kegiatan perjudian haram apatah lagi berkompromi de­ngan sindiket yang terlibat,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Roslee lagi, setakat semalam, sebanyak 109 kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 117 kes lagi masih dalam siasatan.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis di setiap negeri menggempur habis-habisan kegiatan perjudian haram dalam tempoh seminggu dan beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan drastik termasuk dibuang kerja terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sindiket tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.