Dalam dua operasi khas penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semalam dan hari ini, lapan daripada 14 premis didapati kosong.

Menurut jurucakap MBMB, pihaknya menyita 197 unit komputer dan dalam serbuan di enam premis semalam, tiga daripadanya didapati kosong manakala dalam serbuan hari ini pula, lima daripada lapan premis didapati sudah menutup perniagaan masing-masing.

“Hasil daripada serbuan semalam itu, kita menyita 87 unit komputer iaitu di Tetuan Motel Tanjong Kling (41 unit), Jalan Bukit Rambai (21 unit) dan Jalan TTC 4 Taman Teknologi Cheng (25 unit).

“Dalam serbuan hari ini pula kita menyita 110 unit komputer iaitu di Taman Kenanga (37 unit), Plaza Pandan Perdana (10 unit) dan Taman Malim Jaya (63 unit),” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap itu seterusnya berkata, salah sebuah premis yang diserbu di Taman Kenanga Seksyen 3 Kampung Batu Lapan didapati berlindung di sebalik sebuah syarikat ejen pelancongan sebenarnya adalah pusat mesin judi haram.

Menurut jurucakap itu, operasi menggempur premis kegiatan judi haram melibatkan 35 penguat kuasa MBMB, tujuh daripada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), lima anggota polis, dua dari Suruhanjaya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred MBMB 2010 kerana premis terlibat menjalankan perkhidmatan internet tanpa lesen yang sah.

“MBMB dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus menggandakan serbuan bagi membanteras kegiatan judi haram yang berlaku di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu jurucakap TNB yang menyertai operasi khas membanteras kegiatan judi haram memberitahu, mereka menunggu surat daripada polis sebelum bertindak untuk memotong bekalan elektrik di semua 14 premis judi haram yang dikenal pasti.

“Kami turut serta dalam operasi ini bagi mengenal pasti lokasi mereka beroperasi sebelum memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat,” katanya.

Lapan daripada 14 premis didapati kosong

Sumber : Utusan Malaysia