KUALA LUMPUR -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota pihak berkuasa tempatan, yang bertindak menjalankan tanggungjawab mengawal keadaan trafik tanpa kebenaran dan kehadiran polis trafik. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka (individu dan jabatan) melakukan penugasan marshal di jalan raya tanpa kehadiran anggota polis trafik. Pihaknya memandang serius terhadap tindakan individu atau badan-badan tertentu yang kini bertindak menjadi pengiring (marshal) dalam konvoi kenderaan tanpa kebenaran daripada PDRM, katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin. "Mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 21 (2) Akta Polis 1967, sekiranya didapati melakukan perbuatan itu. "Hanya polis sahaja dibenarkan dan mempunyai kuasa untuk menahan atau melencong kenderaan pengguna jalan raya yang lain," katanya. Beliau berkata tugas marshal banyak dilakukan oleh polis trafik dalam kebanyakan acara seperti mengiringi ketua negara, perdana menteri, menteri dan apa jua acara yang melibatkan polis untuk mengawal lalu lintas. Pihaknya telah menghantar surat kepada agensi-agensi yang berkaitan supaya memberhentikan penugasan pengiringan yang menyalahi undang-undang, katanya. Sementara itu, mengikut laporan statistik suku tahun ketiga kemalangan jalan raya bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, Mohd Fuad berkata, sebanyak 357,292 kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan, menurun sebanyak 0.8 peratus berbanding 360,311 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. Beliau berkata jumlah kematian juga menurun 4.1 peratus sepanjang Januari hingga September tahun ini iaitu 5,138 kematian berbanding 5,357 pada tahun lepas. "Secara purata, kemalangan berlaku pada kadar 1,308 kes sehari..negara kehilangan hampir 19 nyawa akibat kemalangan maut setiap hari di seluruh negara," katanya. Penunggang motosikal menyumbang 62.7 peratus atau 3,223 orang yang meninggal dunia akibat kemalangan untuk tempoh sama tahun ini, diikuti kereta 963 orang dan pejalan kaki 393 orang. Beliau berkata tiga negeri yang tertinggi yang menyumbang 55.9 peratus kepada keseluruhan jumlah kemalangan berlaku ialah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur manakala Perlis pula mencatat kadar kemalangan paling rendah.

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.