KUCHING -- Kerajaan Negeri Sarawak menjangkakan lebih banyak jabatan dan agensi di bawahnya akan mencapai penarafan empat bintang untuk integriti tahun ini berikutan peningkatan program integriti telah dijalankan. Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata angka terbaharu diperolehi setakat tahun ini menunjukkan sebanyak 12 buah agensi negeri telah diberikan penarafan itu berdasarkan pencapaian mereka menurut laporan tahunan Ketua Audit Negara. "Di negeri Sarawak, (jumlah agensi yang memperoleh penarafan empat bintang) kita telah meningkat daripada tiga (buah agensi pada 2008) hingga lapan (tahun lepas) dan 12 (buah agensi) tahun ini. Jadi, setiap tahun ia meningkat," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pembentangan Laporan Tekad Integriti Fasa Kedua (2009-2013) dan Hala Tuju Fasa Kedua (2014-2018) Pelan Integriti Nasional PIN) di sini. Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, juga telah menunjukkan komitmen peribadinya untuk memastikan gejala rasuah dibanteras sepenuhnya dan integriti menjadi budaya kerja penjawat awam di negeri ini. Morshidi berkata penganjuran seminar integriti untuk anggota penguat kuasa merupakan satu daripada langkah terbaharu kerajaan negeri yang melibatkan semua agensi penguatkuasaan dalam Perkhidmatan Awam Negeri, Badan-Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Katanya melalui seminar itu, anggota penguat kuasa yang terlibat berpeluang untuk meningkatkan kesedaran mereka berkaitan hak dan had kuasa mereka, mengukuhkan pengetahuan perundangan dan memantapkan integriti mereka. "Saya berharap semua pihak dapat memberikan sokongan yang jitu dalam usaha kita meneruskan misi dan visi membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam," katanya.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.