KANGAR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang penganjur judi haram pada Mac 2011.

Tertuduh, Ahmad Zaharuddin Zainal Abidin, 46, yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai Turus D7 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan dihadapi, termasuk satu pertuduhan pilihan.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Zaharuddin didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Tan Ah Eng, di bilik nombor 237, Hotel Putra Palace, untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menganjurkan judi haram di Simpang Empat, Perlis.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Zaharuddin dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM4,000 daripada Ah Heng, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menganjurkan judi haram di Simpang Empat.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Ahmad Zaharuddin dituduh menerima benda berharga berbentuk wang tunai RM4,000 tanpa balasan daripada Ah Heng yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai Ketua Cawangan D7 (Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) yang mana Ah Heng menganjurkan perjudian haram di Simpang Empat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar dan Mukhriz Mat Rus di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman, manakala tertuduh diwakili Peguam Bela, Firuz Jaffril.

Sumber : Berita Harian Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.