KUCHING -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata langkah kerajaan untuk menambah sebanyak 11,757 anggota polis seperti diumumkan dalam Bajet 2015 akan membantu mengurangkan kadar jenayah serta menjaga keselamatan rakyat. Beliau berkata biarpun kadar jenayah di Sarawak terkawal, namun masih ada kes jenayah melibatkan harta benda yang merisaukan rakyat. "Saya gembira Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) beri peruntukan yang banyak kepada polis dan bilangan anggota akan ditambah. "Bagus ... makin banyak (anggota dan pegawai) polis semakin kita rasa selamat. Apabila bilangan anggota ditambah ini bererti langkah kawalan jenayah menerusi rondaan dan langkah-langkah pencegahan jenayah lain akan menjadi lebih intensif," katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival 1KDN di Perkarangan Tempat Letak Kereta Stadium Negeri Sarawak, di sini Sabtu. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Karnival 1KDN selama tiga hari mulai semalam merupakan jalinan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerajaan negeri Sarawak, badan korporat, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Antara program dan aktiviti dijalankan ialah pameran dan kaunter perkhidmatan jabatan dan agensi KDN seperti polis, Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Sementara itu, Adenan berharap salah tanggap masyarakat mengenai tugas polis yang hanya berperanan menangkap orang yang melakukan kesalahan harus diperbetulkan kerana skop kerja mereka lebih luas. "Ada salah tanggap mengenai kerja polis. Masyarakat fikir kerja polis tangkap orang sahaja, ini hanya salah satu kerjanya tetapi mereka (polis) menjaga keselamatan kita. "Saya sendiri kalau berjalan seorang diri tidak nampak polis takut rasa hati, tetapi bila nampak polis baru rasa selamat," katanya. Wan Junaidi dalam ucapannya berkata indeks jenayah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan sejumlah 111,678 kes, iaitu menurun sebanyak 19 peratus berbanding 130,608 kes direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. "Bagi Negeri Sarawak pula, statistik memperlihatkan bagi tempoh Januari-Ogos, sejumlah 6,198 kes direkodkan di mana berlaku penurunan kes jenayah sebanyak 1,508 kes (19.6 peratus) berbanding sebanyak 7,706 kes direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu," katanya.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.