KUALA LUMPUR -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap 847 pegawai penguat kuasa pelbagai agensi penguatkuasaan atas kesalahan rasuah sejak 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata jumlah tangkapan berkenaan adalah bagi tempoh 2009 hingga Ogos tahun ini. Beliau berkata selain penguatkuasaan, kerajaan juga mengambil langkah pendidikan dan pencegahan dalam menangani salah laku itu. "Justeru langkah susulan telah dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah rasuah. "Usaha terus dilaksanakan untuk memperkemas undang-undang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan agensi penguatkuasaan menerusi latihan berterusan meningkatkan intergriti anggota penguatkuasaan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit). Mohd Zaim ingin tahu statistik pegawai dan anggota penguatkuasaan yang ditangkap kerana terbabit dalam sindiket haram dan rasuah sejak lima tahun lalu, serta langkah dan usaha kerajaan menanganinya. Razali menegaskan bahawa daripada aspek pendidikan, satu penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, ceramah-ceramah serta iklan-iklan berkaitan peningkatan integriti juga dilaksanakan secara berterusan melalui media. "Daripada aspek pencegahan, SPRM melaksanakan program jabatan angkat atau lebih dikenali sebagai kerjasama strategik dengan jabatan-jabatan yang berisiko iaitu mempunyai peluang tinggi untuk berlakunya rasuah. "Mulai tahun ini juga, aktiviti keterlibatan difokuskan kepada pemimpin berpengaruh bagi enam kumpulan sasar iaitu badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, komuniti luar bandar, belia, sektor swasta dan komuniti Cina," katanya. Beliau berkata berdasarkan kajian, kumpulan ini kurang terdedah kepada maklumat yang tepat berkaitan pencegahan rasuah, sehingga mempengaruhi persepsi terhadap kesungguhan kerajaan dan SPRM dalam menangani jenayah rasuah.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.