PUTRAJAYA -- Jabatan dan agensi kerajaan perlu memantapkan dan memperbanyak perkhidmatan dalam talian atau online bagi memperkukuhkan integriti perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mengurangkan kaedah bersemuka dengan pelanggan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan peluang berlakunya ketirisan. Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa patuh dan mengamalkan prosedur kerja seperti digariskan Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. "Setiap penjawat awam perlu ingat bahawa kerajaan mengamalkan sifar toleransi terhadap mereka yang tidak berintegriti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program JPA-Pengurusan Perantisan (MAP) di perkarangan lobi Kementerian Kewangan di sini Rabu. Mengakui terdapat segelintir penjawat awam yang tidak berintegriti, namun Mohamad Zabidi berkata ia tidak boleh diterjemahkan pada seluruh perkhidmatan awam. Sehubungan itu, beliau berharap pemantapan perkhidmatan dalam talian selain kesedaran mengenai prosedur kerja dapat meningkatkan integriti dan mutu kerja dalam kalangan 1.5 juta penjawat awam. Tentang program JPA-MAP, Mohamad Zabidi berkata ia merupakan komitmen dan bukti keprihatinan kerajaan dalam menyediakan laluan kerjaya kepada pelajar-pelajar tajaan untuk kembali berkhidmat di Malaysia. "Ini merupakan usaha kerajaan untuk mengekalkan modal insan berkemahiran dan berketrampilan untuk terus berkhidmat di Malaysia, sekali gus mengurangkan masalah 'brain drain' yang boleh menjejaskan daya saing negara," katanya. Program hari ini dihadiri 294 graduan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang menamatkan pengajian tahun ini. Penganjuran Program JPA-MAP bertujuan untuk mengingatkan graduan akan tanggungjawab untuk memenuhi kontrak berkhidmat dengan kerajaan dan memastikan graduan lulusan luar negara kembali berkhidmat di Malaysia.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.