Pantau tindakan pemborong

KUALA LUMPUR  - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta tidak mengecualikan pemborong dan pembekal dalam aktiviti pemantauan kenaikan harga barang yang dijalankan terhadap peniaga.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah (gambar) berkata, sebaliknya kerajaan perlu melihat dengan lebih mendalam faktor kenaikan tersebut yang kebiasaannya berpunca daripada tindakan pembekal.

Katanya, kenaikan harga barang di pasaran tetap akan berlaku sekiranya pemborong dan pembekal mengenakan caj lebih kepada peniaga.

“Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh menyalahkan peniaga 100 peratus kerana mereka tiada pilihan selain menaikkan harga ekoran peningkatan kos serta komitmen lain termasuk sewa kedai dan sebagainya.

“Sehubungan itu, pemantauan juga perlu dikenakan terhadap semua pihak terlibat termasuk pembekal dan pemborong," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menterinya Datuk Seri Hasan Malek yang menggerakkan 1,800 anggota penguat kuasa ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan pengurangan subsidi harga minyak sebanyak 20 sen bagi petrol RON 95 dan diesel.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan nasib peniaga yang terpaksa menghadapi kenaikan kos bahan mentah dan mencari penyelesaian menang-menang dalam usaha membanteras kenaikan harga barang.

“Kita tidak mahu peniaga berasa tertekan dengan kesempitan yang mereka hadapi. Justeru itu saya mahu kerajaan mengambil kira keadaan mereka dan tidak melepaskan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab," jelasnya.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.