1800 penguat kuasa pantau peniaga naikkan harga barang

BATANG SADONG  - Sebanyak 1,800 anggota penguat kuasa digerakkan ke seluruh negara untuk bertindak terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan tindakan mengurangkan subsidi harga minyak yang dibuat kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuktikan sebelum ini peniaga yang tamak tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pemantauan melibatkan semua premis termasuk restoran, kedai makan, pasar raya, kedai runcit dan pasar basah.

Beliau berkata, 1,800 pegawai penguat kuasa telah diarahkan supaya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan terhadap kenaikan sebanyak 20 sen harga petrol RON 95 dan diesel.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Kedai Rakyat Borneo Mart oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Simunjan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan memberitahu, para peniaga yang disyaki cuba mengaut keuntungan berlebihan akan diminta membuat penjelasan secara terperinci tentang tindakan mereka mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Katanya, tindakan itu amal dikesali kerana peniaga sepatutnya mengamalkan sikap beretika dalam mengurus perniagaan masing-masing.

‘‘Dalam masa sama, pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna yang bijak.

"Segeralah membuat aduan jika ada mengetahui mana-mana peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati," ujarnya.

Dalam pada itu, Hasan berkata, sebanyak empat Kedai Rakyat Borneo Mart dibuka di Sarawak iaitu di Merapok, Bintulu, Gedong dan Simunjan.

Katanya, kedai yang berasaskan struktur kontena yang diubah suai itu menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan dan berkualiti kepada penduduk di luar bandar.

"Kita menyasarkan untuk membuka 25 cawangan Kedai Rakyat Borneo Mart di seluruh Sarawak pada tahun ini," katanya.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.