KUCHING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di 28 daerah negeri ini bagi melaksanakan pendekatan lebih proaktif dan bersepadu dalam mencegah jenayah.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, jabatan baharu itu yang kini hanya berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, merupakan inisiatif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terjamin.

Beliau berkata, ia diyakini mampu mendidik dan membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab mencegah jenayah serta menangani persepsi negatif terhadap isu keselamatan.

"JPJKK bagi Sarawak diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Burhanuddin Abdul Majid akan dikembangkan ke 28 daerah di negeri ini termasuk Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Bintulu dan Limbang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sarawak di sini semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu berkata, PDRM juga akan mewujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang menggabungkan cawangan Tatatertib, Bahagian Agama dan Kaunseling serta Naziran.

Katanya, tujuan penubuhan JIPS adalah untuk memperkasakan PDRM dengan memantapkan integriti pegawai dan anggota.

"Jabatan ini turut akan memastikan pegawai dan anggota PDRM melaksanakan tugas dengan mematuhi standard yang ditetapkan," ujarnya.

Beliau berkata, penubuhan JPJKK dan JIPS diharap dapat memastikan PDRM komited menjalankan tanggungjawab yang dikehendaki oleh masyarakat dalam meningkatkan keupayaan membasmi jenayah.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.