BUKIT MERTAJAM -- Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata beliau dan pasukannya menjalankan tugas mengikut undang-undang, dan bukan sesuka hati untuk kepentingan sendiri. Beliau menegaskan polis juga tidak bertindak atas desakan mana-mana pihak sebaliknya mematuhi peraturan sedia ada. Justeru itu, katanya polis tidak terjejas dengan cacian dan tohmahan badan bukan kerajaan atau individu yang tidak berpuas hati dengan tugas mereka. "Tanggungjawab polis adalah menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara...bukan untuk mendengar tohmahan orang ramai semata-mata," katanya kepada pemberita selepas program Safe Camera (SafeCam) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan penyerahan pelekat kamera litar tertutup antara polis dan Auto-City di sini, malam tadi. Abdul Rahim mengulas catatan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Reo dalam laman twiternya yang menyatakan "ketua polis pulau pinang takut dengan Lim Guang Eng? sampai bila nak jadi barua DAP'. Ramesh memuat naik status itu semalam berikutan polis belum menahan Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS). Pada 31 Ogos lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sehari selepas itu, polis menahan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima RSN Rayer manakala timbalan pasukan itu yang juga Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pada Khamis. Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata SafeCam Polis PDRM, yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan awam dan mengekang jenayah, akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain di Pulau Pinang secara berperingkat. Menerusi pelaksanaan SafeCam PDRM itu, pemilik syarikat, agensi kerajaan atau pihak yang mempunyai CCTV di premis masing-masing boleh menjalinkan kerjasama dengan polis apabila menjadi anggota SafeCam. "Menerusi program ini juga ia memberikan akses segera kepada pihak polis terhadap rakaman video untuk tujuan pengambilan bukti serta siasatan dan meningkatkan tahap keselamatan setempat di kawasan berkepentingan. Di Pulau Pinang, PDRM bekerjasama dengan Auto-City yang mempunyai 1,000 CCTV di kawasan perniagaannya.
http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1068578Sumber : Bernama Online