KUALA LUMPUR - Kesempatan cuti hujung minggu yang diambil warga asing dengan bersiar-siar di Jalan Silang di sini, memakan diri apabila mereka yang tiada dokumen ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen, hari ini.
Dalam Op Bersepadu 6P, Fasa 3 itu, seramai 273 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas.
Mereka terdiri daripada 114 warga Bangladesh, Nepal (73 orang), Myanmar (40 orang) Indonesia (15 orang) India (16 orang), Sri Lanka (3 orang), Pakistan (2) dan Vietnam (4).
Dalam operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu, seorang buruh binaan warga Bangladesh berusia 30-an berpura-pura pengsan selama 10 minit bagi mengelak ditangkap tetapi usahanya sia-sia apabila tetap diberkas kerana tidak mempunyai permit sah dan pasport tamat tempoh.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, pelbagai ragam dapat disaksikan sepanjang operasi itu.
Katanya, ragam itu sebenarnya adalah cubaan melarikan diri kerana golongan tersebut sendiri sedar akan kesalahan mereka.
"Kita telah mengepung kawasan itu dan hasilnya seramai 273 warga asing telah ditangkap," katanya.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tiada permit kerja atau tamat tempoh.
Katanya, mereka yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber : Utusan Online