JOHOR BAHRU - Biarpun penguatkuasaan membanteras aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) giat dilakukan, namun sindiket yang mendalangi kegiatan tersebut masih berterusan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, dari 2012 hingga Jun tahun ini, seramai 2,935 PATI ditahan (tangkapan oleh Pasukan Polis Marin sahaja) dan sebanyak 123 bot dirampas.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut juga, sebanyak 832 kes tangkapan serta rampasan atas pelbagai kesalahan di bawah akta melibatkan kes-kes penyeludupan berjumlah RM45,511,695.41 dilaporkan.
"Tangkapan PATI terbabit dibuat mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambahnya, penglibatan rakyat tempatan juga dikesan dalam aktiviti penyeludupan PATI dan dalam tempoh sama, seramai 45 orang ditahan yang didapati melakukan kerja sebagai tekong darat, kru bot haram dan pelindung PATI.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, penglibatan nelayan hanya sebagai pemberi maklumat atau menjadi tonto bagi memaklumkan mengenai kehadiran penguat kuasa kepada tekong yang menjalankan sindiket berkenaan.
Dalam pada itu, Salleh berkata, bot-bot serta mereka yang ditahan adalah hasil operasi dan serbuan yang dibuat polis menerusi maklumat risikan dan orang awam antaranya Op Cantas Khas (perairan), Op Pensura dan Ops Landai.
"Bot-bot yang dirampas juga terdiri daripada bot jenis pancung, jongkong dan pom pom yang tidak mempunyai pendaftaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan bot berkenaan juga menggunakan enjin berkuasa tinggi," ujarnya.
Ditanya apakah antara barangan yang dirampas bersama PATI semasa mereka masuk dan keluar dari negara ini secara haram, beliau menjawab, barang yang dirampas adalah seperti pakaian, makanan, ubat, wang tunai dan barang elektrik bersaiz kecil.
Salleh berkata, selain penyeludupan PATI, polis turut memberi perhatian ke atas penyeludupan dan penyelewengan diesel bersubsidi melalui perairan dan dari 2012 hingga Jun tahun ini, sebanyak 216 kes dengan nilai rampasan RM78,331,278.49 direkodkan.
Selain diesel, katanya, ada beberapa barangan kawalan lain yang dibawa masuk dan keluar dari negara ini dan antara dikenal pasti ialah minyak masak, tepung, gula, beras dan barangan keperluan harian lain.
Sumber :Utusan Malaysia