KOTA KINABALU, (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata pelancong yang berkunjung ke kawasan pelancongan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan perintah berkurung oleh pasukan keselamatan. Katanya ada pelancong yang memaklumkan bahawa mereka merasa lebih selamat dan bebas untuk bersiar-siar selepas pelaksanaan perintah berkurung berkenaan. Malah, kata Masidi, maklumat terbaharu yang diterimanya daripada seorang operator pelancongan di Pulau Mabul mengatakan bahawa resortnya terus mendapat sambutan dan tempahan menggalakkan daripada pelancong yang datang dari pelbagai negara. "Kita juga terima maklum balas yang mengatakan bahawa perintah berkurung berkenaan menjejaskan golongan nelayan. Bagaimanapun, pihak keselamatan telah memaklumkan nelayan bahawa mereka boleh diberi pengecualian (melalui permohonan permit)," katanya. Masidi berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman merasmikan Persidangan Majlis Penyelidikan Borneo anjuran bersama Kursi Kadazandusun dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah di sini pada Selasa. Semalam, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun mengumumkan bahawa perintah berkurung di enam daerah di ESSZone yang berkuat kuasa dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi dilanjutkan sehingga 17 Ogos ini selepas mengambil kira perkembangan semasa. Menurut Masidi pelaksanaan perintah berkurung berkenaan merupakan langkah jangka pendek yang diambil pihak keselamatan untuk mengawal perairan negara daripada sebarang ancaman sekali gus memberi ruang kepada mereka merangka pelan penyelesaian jangka panjang terhadap ancaman keselamatan di ESSZone. Sebagai contoh, katanya, tempoh perintah berkurung berkenaan boleh digunakan oleh pasukan keselamatan untuk membuat kajian bagi menentukan laluan laut tetap paling sesuai yang mesti dilalui semua bot atau kapal yang ingin memasuki perairan Sabah. Sementara itu, Masidi menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya kementeriannya menghentikan program promosi pelancongannya untuk menarik pelancong China berkunjung ke Sabah berikutan beberapa insiden penculikan melibatkan rakyat negara berkenaan di kawasan ESSZone. Katanya promosi untuk menarik pelancong China masih berjalan di samping memperluas promosi pelancongan ke beberapa lokasi terpilih di Amerika Syarikat. Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.