KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (JITU) yang ditubuhkan di setiap kementerian serta di jabatan Persekutuan di negeri-negeri turut dianggotai pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata usaha kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan perlu dijalankan seiring dengan usaha membasmi gejala penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan dalam sektor perkhidmatan awam.

"Pada masa sama, jika kerajaan mahu memastikan JITU mempunyai lebih keberkesanan, jawatankuasa berkenaan juga boleh turut melaporkan kepada PAC yang dapat bertindak sebagai sebuah badan bebas daripada campur tangan eksekutif," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Nur Jazlan berkata, PAC menyambut baik inisiatif yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan kerana ia akan meningkatkan integriti serta tadbir urus kerajaan yang lebih telus serta efisien. "Memang kita perlu akui dengan adanya pemantauan terus daripada Menteri bertanggungjawab yang turut sama mempengerusikan jawatankuasa berkenaan, sebarang penyalahgunaan dapat dikesan dengan lebih awal," katanya. Selain itu, Nur Jazlan juga menggesa semua kakitangan awam supaya turut memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah rasuah serta salah guna kuasa di tempat kerja masing-masing. JITU adalah kerjasama dengan kementerian dan agensi yang akan bertindak sebagai jentera utama bagi mengetuai semua program tranformasi berhubung urus tadbir dan integriti.
Penubuhan JITU diluluskan Kabinet pada Mac lalu yang mengandungi 200 ketua pegawai integriti daripada 700 kementerian dan agensi kerajaan. - BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.