JOHOR BAHRU 30 Jun - Seorang pengarah di Jabatan Kerja Raya (JKR) dihukum penjara setahun dan denda RM1.15 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak penyelenggaraan bagi syarikat milik adiknya bernilai RM230,800, dua tahun lalu. Datuk Abdul Rahim Ahmad, 57, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan. Mengikut pertuduhan, Abdul Rahim yang merupakan Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan JKR didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat JKR, Aras Empat, Bangunan Sultan Iskandar pada pukul 1.30 petang, 5 Januari 2012. Dia selaku pengarah projek bagi kontrak pengurusan fasiliti bangunan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral Bukit Chagar didakwa menggunakan kedudukannya itu bagi mendapatkan projek untuk adiknya. Dia didakwa meminta Pengarah Operasi Kumpulan syarikat Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd., Saipolyaszen M. Yusop, 44, yang bertanggungjawab untuk pengurusan fasiliti CIQ, melantik syarikat YBA Technology Sdn. Bhd. milik adiknya, Mohd. Yusri Ahmad, 38, bagi menjalankan kerja subkontraktor berkaitan kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral. Kontrak itu ialah 'Re-balancing, Testing and Commissioning for Air System & Chilled Water System' (Melakukan Imbangan, Pengujian dan Penjayaan bagi Sistem Udara & Sistem Air Sejuk) bernilai RM196,000 dan 'Supply Install Testing Commissioning Danfos Motorise Valve for ACMV' (Penjayaan bagi Membekalkan Pemasangan dan Pengujian Danfos Motorise Valve untuk ACMV) bernilai RM34,800. Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abd. Ghafar Ab. Latif manakala tertuduh diwakili peguam Stanilaus Vethanayagam. Sumber : Utusan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.