BERA, 28 Jun (Bernama) -- Mulai 1 Sept ini semua bot nelayan diwajibkan mengguna alat pengesan sebagai langkah membantu meningkatkan pendapatan dan keselamatan nelayan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat permulaan penguatkuasaan pemasangan alat pengesan tersebut diwajibkan kepada nelayan kawasan Pantai Barat sebelum ia diperluaskan kepada nelayan Pantai Timur dan kawasan lain secara berperingkat-peringkat. "Alat pengesan itu mampu membendung kegiatan penjualan diesel dan hasil tangkapan secara haram yang dilakukan nelayan untuk mendapatkan keuntungan berlebihan. "Ia boleh membantu mengesan kegiatan jenayah di laut seperti dirompak oleh lanun sekali gus membolehkan pihak berkuasa memberi bantuan kepada nelayan secepat mungin jika ada berlaku sesuatu kejadian," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan ramah mesera dengan penduduk di kampung Lubuk Lian di Bera, Sabtu. Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Fadhil Othman, Timbalan Ketua Setiauasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Aris Abdul Rahman dan Ketua Pengarah LPP Malaysia Datuk Arpan Shah Sabtu. Ismail Sabri berkata semua nelayan terutama Zon B dan Zon C yang memiliki bot dan kapal besar berharga lebih RM200,000 hingga sejuta ringgit diwajibkan memasang alat tersebut dan mereka diyakini mampu membeli alat pengesan itu kerana ia hanya berharga RM4,000. Katanya, nelayan tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan untuk tidak menggunakan alat pengesan kerana harga yang murah dan tidak menjadi halangan bagi mereka membelinya berbanding harga bot yang mahal melebihi jutaan ringgit. Menteri itu memberi amaran kepada nelayan yang menjual hasil tangkapan dan disel kepada nelayan asing kerana perbuatan itu menjejaskan hasil kerajaan dan memberikan keuntungan pihak lain. Tegasnya, jika terbukti ada nelayan yang melakukan kegiatan khianat itu, tindakan merampas lesen dan bot akan diambil sebagai langkah membendungnya daripada berleluasa. Sumber - BERNAMA
Bot Nelayan Wajib Pasang Alat Pengesan Mulai September - Ismail Sabri
- Butiran
- 623