KUALA LUMPUR 19 Jun - Jumlah diesel subsidi yang diberikan kerajaan kepada rakyat meningkat sebanyak 199 peratus dalam tempoh 14 tahun iaitu sebanyak 8.61 bilion liter pada 2013, berbanding 2.873 bilion liter pada tahun 2000. Berdasarkan statistik yang diterima daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), trend pengeluaran diesel bersubsidi mula menunjukkan peningkatan mendadak sejak tiga tahun lalu iaitu 5.997 bilion liter pada 2011, 7.913 bilion liter (2012) dan 8.61 bilion liter tahun lalu. Peningkatan tersebut dipercayai akibat ketirisan yang berlaku memandangkan dalam tempoh lima tahun sebelum itu, jumlah tersebut mencatat trend menurun dengan hanya 3.03 bilion liter pada 2009 dan 4.295 bilion liter pada tahun 2010. "Disebabkan trend yang meningkat inilah PAC meminta penjelasan daripada kementerian terlibat mengenai apa yang berlaku," kata Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed kepada Utusan Malaysia selepas mengedarkan data tersebut kepada media di sini hari ini. Terdahulu, statistik tersebut yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dise-rahkan kepada PAC dalam mesyuarat yang turut dihadiri wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Berdasarkan statistik itu, setakat Januari 2014, sebanyak 48.596 juta liter bahan api itu telah diedarkan kepada pengguna melalui sistem kad fleet. "Melalui agihan skid tank, sebanyak 377 juta liter subsidi diagihkan pada tahun 2012 berbanding 360 juta liter pada tahun lalu. "Dalam sektor perikanan pula, sebanyak 1.18 bilion liter telah diagihkan kepada nelayan sepanjang 2013 dengan kos ditanggung kerajaan berjumlah RM1.603 bilion," kata statistik tersebut. Sementara itu, statistik tersebut turut menyatakan sebanyak 315 kes penyalahgunaan bahan api itu berjaya dipatahkan pada 2012 membabitkan jumlah rampasan sebanyak 3.655 juta liter diesel subsidi yang bernilai RM6.579 juta. Bagi tahun 2013 pula, sebanyak 501 kes diselesaikan membabitkan peningakatan 104 peratus jumlah rampasan iaitu 7.470 juta liter bernilai RM14.941 juta. Sumber : Utusan
Jumlah diesel subsidi meningkat 199% bagi tempoh 14 tahun
- Butiran
- 693