KUALA LUMPUR 19 Jun - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendakwa kaedah pengedaran minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi. Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keadaan itu dilihat boleh membawa kepada banyak ketirisan sehingga berlaku penyalahgunaan diesel bersubsidi dan penyeludupan bahan itu. "Sebagai contoh, sekarang mereka gunakan 'fleet card' yang diberikan kepada pengguna kategori tertentu yang boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan kad itu di stesen-stesen petrol. "Tetapi, kad ini mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had dan ini menyebabkan pihak yang menggunakannya dapat menikmati diesel bersubsidi dengan lebih," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengenai perancangan kedua-dua kementerian itu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dan penyeludupan diesel bersubsidi. Sumber : BERNAMA
PAC dakwa kaedah pengedaran diesel bersubsidi banyak kelemahan
- Butiran
- 595