KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengurusan aktiviti pengambilan pekerja asing oleh Kementerian Dalam Negeri dan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh Jabatan Imigresen telah diuruskan dengan teratur, cekap dan berhemat. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, tempoh kelulusan kuota di Pusat Kelulusan Setempat Pekerja Asing (OSC) telah dilaksanakan dalam tempoh sehari, selaras dengan objektif Kualiti Bahagian Pekerja Asing kementerian itu. Pengauditan yang dijalankan antara Jun hingga Oktober tahun lalu itu turut memperakukan kutipan bayaran levi untuk tahun pertama oleh majikan di OSC telah meningkat sebanyak 31.8 peratus iaitu daripada RM342.83 juta dalam tahun 2011 kepada RM451.83 juta dalam tahun 2013. Analisis audit menunjukkan terdapat pengurangan bilangan permohonan kuota pengambilan pekerja asing yang diterima pada tahun 2012 berbanding 2011 sebanyak 3,312 permohonan disebabkan oleh pelancaran program Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran (6P) dan seterusnya diikuti dengan Proses Pemutihan yang berakhir pada 31 Oktober 2011. "Bilangan pekerja asing yang memegang PLKS aktif setakat 31 Disember 2013 adalah seramai 2,470,186 orang," kata laporan itu yang dibentangkan hari ini. Selain itu, lawatan Jabatan Audit ke Bilik Temuduga Bahagian Pekerja Asing kementerian berkenaan mendapati secara keseluruhannya proses kelulusan kuota pengambilan pekerja asing telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, menurut laporan itu, tiada ahli panel yang ditempatkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi kelulusan sektor perkhidmatan dan pertanian. "Pada pendapat Audit, proses kelulusan kuota adalah kurang memuaskan kerana terdapat permohonan pekerja asing telah diluluskan tanpa kehadiran wakil agensi kawal selia dan Kementerian Sumber Manusia. "Kehadiran ahli jawatankuasa bagi tujuan proses tersebut adalah penting bagi menjamin ketelusan proses kelulusan dan memastikan ia dibuat berdasarkan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan mengikut kementerian masing-masing," katanya. Sumber : Utusan
Audit: Jabatan Imigresen urus pengambilan pekerja asing secara teratur
- Butiran
- 673