KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Kempen Tolak Rasuah pada tahun ini bagi memperbetulkan persepsi negatif sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kempen tersebut akan menjadikan PDRM sebagai institusi berwibawa, disegani dan dihormati masyarakat.
"Kita meletakkan aspek integriti sebagai nilai tambah yang utama dalam pengurusan organisasi.
"Dengan adanya integriti pada warga PDRM, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan ini," katanya ketika berucap pada majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Sambutan bertemakan Komuniti sejahtera komitmen kami itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta diraikan dalam suasana meriah oleh kira-kira 2,000 warga PDRM dan orang ramai.
Najib yang tiba kira-kira pukul 8.30 pagi melakukan pemeriksaan kawalan kehormat sambil diiringi oleh Khalid seterusnya menyaksikan perbarisan pegawai dan anggota polis di Dataran Kawad Pulapol.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Selepas itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah kenaikan pangkat secara medan kepada 23 pegawai dan anggota polis.
Antara penerimanya ialah Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd. yang maut diserang oleh sekumpulan penjenayah warga asing di Taman Sentosa, Klang pada 4 Mac lalu, dan Inspektor Mohamed Hasnal Jamil yang cedera ditetak oleh pengganas Kiram dalam tragedi berdarah di Kampung Simunul, Sabah.
Balu Raja Aizam, Norsalmah Nordin, 50, hadir menerima anugerah bagi pihak suaminya.
Sumber : Utusan