GEORGETOWN: Kematian seorang tahanan dalam Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru di sini Sabtu lepas adalah kerana penyakit asma, dan bukannya disebabkan anggota polis sebagaimana didakwa pihak tertentu, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata punca kematian tahanan itu juga telah disahkan oleh doktor yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit di Hospital Pulau Pinang.

"Tiada sebarang kecederaan lain di badan tahanan itu malah keluarganya juga menerima kejadian berkenaan kerana mengetahui lelaki itu mempunyai penyakit.

"Jadi hari ini saya nak nafikan tuduhan yang dilempar oleh pihak tertentu yang mendakwa polis menyebabkan kematian tahanan itu. Kami juga tidak menerima sebarang aduan daripada keluarga tahanan atau laporan polis bagi menyiasat (polis sebabkan kematian tahanan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin memuat naik status di laman twitternya berbunyi "Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah".

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang tahanan reman ditemui mati di Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru di sini selepas mengadu kurang sihat. Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pada 24 Feb kerana kesalahan dadah.

Abdul Rahim berkata segala urusan berkaitan lokap dan tata cara pengendalian tahanan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan-peraturan lokap yang perlu dipatuhi.

Setiap sel dalam lokap berkenaan turut dilengkapi CCTV dan hasil rakaman tidak menunjukkan mangsa dipukul oleh mana-mana anggota polis atau tahanan lain sebelum ditemui mati, katanya.

Mengenai program seorang wakil rakyat ingin melawat lokap kejadian itu, Abdul Rahim berkata mana-mana pihak yang mahu melakukan lawatan dan pemeriksaan dalam sel lokap perlu mendapatkan perintah mahkamah kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan orang awam melawat atau membuat pemeriksaan di dalam lokap.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata 30 wanita Vietnam dan China dipercayai pelayan pelanggan (GRO), seorang lelaki penjaga premis serta lima pelanggan ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar, di sini malam tadi.

Sementara itu, dalam serbuan di tujuh premis perjudian di Machang Bubuk, semalam, polis merampas 60 komputer perjudian bernilai RM180,000 dan menahan 11 lelaki termasuk lima penjaga premis perjudian berusia 22 hingga 55 tahun.

"Sejak awal tahun hingga semalam, kami telah menyerbu 82 pusat perjudian dan menahan 15 orang serta merampas 159 buah pelbagai mesin perjudian bernilai hampir RM500,000," katanya.

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.