KAMPAR: Mahkamah Koroner menetapkan 1 April untuk keputusan inkues bagi menyiasat punca kematian M. Ragu dalam lokap Balai Polis Kampar tahun lepas.

Koroner Melati Diana Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar keterangan saksi kesepuluh dan terakhir dalam prosiding inkues berkenaan, yang bermula Februari lepas.

Beliau turut mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Loke Kok Mun dan peguam M.Kulasegaran, yang membantu prosiding inkues itu, menyerahkan hujahan bertulis kepada mahkamah pada 17 Mac.

Terdahulu, Ketua Balai Polis Kampar Inspektor Teo Shian Wu memaklumkan beliau bersetuju dengan pendapat Kulasegaran bahawa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar sel lokap boleh menunjukkan dengan jelas jika mangsa diheret, dipukul atau tidak diberi makanan.

“Setiap pergerakan akan direkod. Sebanyak tiga CCTV dipasang di Balai Polis Kampar iaitu di luar sel lokap, pejabat pertanyaan dan bilik Gerakan,” katanya.

Teo berkata siasatan dan percakapan yang direkod menunjukkan tidak berlaku sebarang jenayah terhadap mangsa iaitu sama ada dia dipukul oleh polis atau tahanan lain.

Beliau berkata mangsa, yang ditemui mati dalam sel lokap nombor empat, pernah mendapat rawatan di Hospital Malim Nawar semasa ditahan reman.

“Si mati ada memohon kepada Majistret semasa prosiding tahanan reman pada 5 Mac 2013 untuk dibawa ke hospital, dan polis pengiring membawanya ke Hospital Malim Nawar untuk rawatan, selepas itu, si mati tidak pernah lagi memohon untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Teo juga memaklumkan mangsa ditemui mati atas pangkin dalam sel lokap dengan keadaan mengiringi dan perkara itu dirakam oleh jurufoto sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kampar.

“Di hospital itu, sekali lagi pemeriksaan dijalankan, tiada kesan jenayah ditemui dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat pada keesokkannya,” katanya.

Ragu, 47, yang ditahan di lokap itu dilaporkan mati akibat ‘embolisme paru-paru’ pada 8 pagi 10 Mac 2013, iaitu dua hari selepas Mahkamah Majistret Kampar menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,000 terhadapnya bagi kesalahan mendatangkan kecederaan.

Sumber : The Malaysian Times

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.