KUALA LUMPUR 19 Julai - Sindiket licik atau pihak berkuasa yang lemah? Itulah persoalan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak apabila memperkatakan mengenai kegiatan mengutip derma yang kini semakin berleluasa.
Pelbagai nama diberikan, pelbagai alasan dikemukakan dan pelbagai taktik digunakan oleh sindiket untuk memperdayakan orang ramai menghulurkan sumbangan tetapi sehingga ke hari ini, perbuatan tidak bertanggungjawab mereka seolah-olah tidak mampu dibanteras.
Keadaan itu menimbulkan persoalan, apakah pihak berkuasa khususnya kementerian terlibat dan jabatan agama sudah `mati akal’ bagi menghapuskan gejala itu? Kenapakah perlu membiarkan sindiket memperalatkan kanak-kanak, wanita dan orang tua untuk meraih simpati?
Usah bercakap soal maklumat kerana ia sudah acap kali dipaparkan dalam media massa. Malah kegiatan mengutip derma itu bukannya dilakukan secara sembunyi-sembunyi tetapi terbuka di tempat-tempat awam.
Selain itu, tidak perlu jari ditudingkan kepada sindiket kerana mereka hanya mengambil kesempatan daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Sikap memekakkan telinga dan menutup mata bagi membanteras penipuan melalui kutipan derma telah memungkinkan perbuatan haram itu berleluasa.
Sebagai contoh, penggunaan tenaga kanak-kanak untuk mengutip derma atas nama membiayai pembangunan maahad tahfiz atau anak yatim. Ia bukan kegiatan baru tetapi sudah bertahun-tahun lamanya sehingga `ahli perniagaan’ atau individu yang memperalatkan kanak-kanak itu sudah kaya raya.
Individu tersebut difahamkan hidup senang lenang hasil titik peluh kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah yang digerakkan ke seluruh negara khususnya Lembah Klang bagi mengutip derma. Bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam, mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan kegiatan itu.
Dengan jumlah yang digerakkan agak ramai, individu itu mungkin boleh mengaut keuntungan ribuan ringgit sehari, tetapi bagaimana dengan kanak-kanak yang seolah-olah menjadi `hamba’ tersebut? Wajarkah pihak berkuasa memerhatikan sahaja perbuatan itu? Begitulah juga dengan kehadiran ratusan pengutip derma dari selatan Thailand.
Mereka bebas mengutip derma di mana sahaja tanpa ada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa, biarpun mereka `menjaja’ dokumen dan cop palsu jabatan tertentu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru sudah tiba masanya, pihak berkuasa memandangkan serius gejala mengutip derma yang semakin bermaharajalela bagi mengelakkan rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemurah mereka terpedaya.
Operasi secara besar-besaran perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi membanteras gejala tersebut supaya negara ini tidak dianggap ‘syurga’ kepada sindiket pengutip derma.
Sumber : Utusan Online