KUALA LUMPUR 18 Julai - Kes penipuan pengutip derma yang menggunakan nama madrasah sudah berlarutan saban tahun namun kebanyakan masyarakat kita seperti tidak kisah akan hal itu dan terus menyalurkan wang kepada penipu-penipu berkenaan.

Sikap pemurah masyarakat kita tanpa mahu memeriksa dahulu kesahihan latar belakang madrasah yang diwakili pengutip-pengutip derma ini membuatkan mereka tidak serik walaupun beberapa tangkapan pernah dibuat oleh pihak berkuasa.

Malah kegiatan pengutip derma ini semakin menjadi-jadi apabila tibanya bulan Ramadan kerana mereka tahu ketika itulah masyarakat kita khususnya yang beragama Islam berlumba-lumba untuk melakukan amal jariah.

Tidak dinafikan pahala bersedekah tetap diperoleh namun sampai bila kita mahu wang yang didermakan itu masuk ke ‘poket’ si penipu, jauh sekali digunakan untuk membina atau membaik pulih madrasah.

Menurut seorang sumber yang turut mengusahakan madrasah sendiri, madarasah yang baik dan boleh dipercayai tidak akan menyuruh pelajar-pelajarnya atau pihak lain meminta derma daripada orang ramai.

Beliau berkata, madrasah tidak hidup dengan cara meminta derma sebaliknya melalui inisiatif dan wang pengusaha itu sendiri, namun tidak menolak jika ada pihak yang mahu menyalurkan sumbangan.

“Ini konsep sebenar madrasah, kita tidak meminta walaupun hakikatnya kita memerlukan bantuan kewangan, sebab itu kalau ada pihak yang hendak menyumbang, kita terima. Madrasah perlulah terbina dengan hati yang ikhlas,” katanya.

Menurut sumber itu lagi yang turut aktif menjejak pengutip derma menggunakan nama madrasah, kebanyakan mereka yang datang dari luar negara khususnya selatan Thailand adalah penipu.

Hasil daripada kajiannya selama beberapa tahun, beliau mendapati pengutip-pengutip derma itu bergerak melalui sindiket.

“Jika kita lihat dokumen yang mereka bawa, cukup untuk me­yakinkan kita bahawa mereka ini benar-benar mencari sumbangan untuk madrasah. Namun apabila di­selidik betul-betul, semuanya palsu.

“Perbuatan mereka ini terancang, jelas menunjukkan terdapat sindiket yang mendalangi kegiatan mereka ini,” katanya.

Malah, kata beliau, perkara tersebut disahkan sendiri oleh warga selatan Thailand yang datang ke negara ini bekerja di kedai-kedai makan atau kebiasaannya dipanggil kedai ‘tom yam’.

Mengikut maklumat yang diperoleh, pengutip-pengutip derma ini akan mengelak daripada bertembung dengan pekerja-pekerja kedai tom yam berkenaan kerana kegiatan mereka sudah lama dihidu oleh `orang kampung’ mereka itu sendiri.

Dalam satu laporan berita sebelum ini, seorang mudir pondok dari Songkhla juga pernah menasihatkan supaya tidak tertipu dengan helah sendiket kutip derma yang menggunakan nama madrasah di Thailand.

Mudir Pondok Anak Yatim Santiwit, Abdul Rahman Ahmad berkata, taktik sedemikian digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Pihak madrasah di Thailand ini tidak akan sewenang-wenangnya mengutip derma di pasar-pasar atau di kedai makan di Malaysia. Itu hanya penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau pihak madrasah nak memohon derma, kami akan buat melalui pejabat agama Islam di Thailand dan Malaysia dan hanya mudir, pengurus atau pemilik madrasah sahaja yang dibenarkan berbuat demikian, tidak melibatkan anak-anak yatim atau individu lain,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan Bernama.

Selain warga Thailand, turut aktif melakukan kegiatan sama adalah warga Pakistan, Afghanistan dan India bermodalkan taktik hampir serupa.

Menurut sumber berkenaan, warga Pakistan dan India lebih ke depan kerana selepas menerima sumbangan kononnya untuk pembangunan madrasah, mereka akan memujuk si penderma sama mengeluarkan wang lagi bagi sumbangan lain pula iaitu waqaf al-Quran.

Warga Afghanistan pula lebih agresif apabila sanggup mengikut pulang ke rumah, sebagai contoh, sekiranya kita memberi alasan tidak mempunyai duit ketika itu.

Namun apa yang menjadi persoalan, bagaimana mereka yang datang dari jauh ini menjalani kelangsungan hidup di negara ini, melainkan menggunakan sebahagian daripada wang sumbangan.

Adakah kita sebagai penderma rela mereka berbuat demikian? Sudah tentu semua wang yang kita sumbangkan hendak disalurkan ke tempat yang sepatutnya. Bukannya derma RM10, tetapi yang diterima madrasah hanya RM2, atau lebih malang langsung tidak dapat apa-apa.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.