KUANTAN 2 Julai – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini masing-masing atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM200 daripada seorang pemandu lori, Jun tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Lans Koperal Rosdi Mat Kaha, 46, dan Konstabel Mohd. Izaimie Ismail, 30, yang bertugas di Balai Polis Jaya Gading, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.
Tertuduh pertama, Rosdi didakwa meminta suapan wang tunai RM200 daripada Rustam Wahib, melalui Mohd. Izaimie pada pukul 10.30 pagi, 11 Jun 2014 di tepi Jalan Kuantan-Gambang berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Kuantan.
Tertuduh kedua, Mohd. Izaimie pula didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM200 daripada lelaki tersebut pada pukul 2.15 petang hari yang sama di sebuah kedai makan di Jaya Gading, Kuantan.
Kedua-dua tertuduh didakwa meminta dan menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Rustam yang telah melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membawa muatan barang-barang yang tidak ditutup dengan kanvas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: Utusan Online