KUALA LUMPUR 1 Julai – Berikutan beberapa siri laporan khas yang disiarkan Utusan Malaysia berkenaan pencerobohan tanah di Cameron Highlands sejak Ahad lalu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mencadangkan sebuah agensi atau organisasi khusus ditubuhkan bagi menangani isu itu.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, agensi itu perlu ditubuhkan segera bagi menghentikan segala isu melibatkan kawasan tanah tinggi tersebut antaranya penerokaan tanah ha­ram, pelanggaran syarat Lesen Pendudukan Sementara, melindungi warga asing dan menyimpan racun tidak berjadual.

Katanya, isu di Cameron Highlands telah lama berlaku dan akan terus berulang jika tidak segera ditangani menerusi penubuhan agensi khusus.

“Agensi ini perlu ditempatkan di kawasan tanah tinggi tersebut supaya boleh bergerak secara bersepadu dan akan berkongsi maklumat dengan agensi penguatkuasaan lain mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Selain melakukan pemantauan secara berkala, agensi itu juga perlu terbuka supaya dapat menerima segala maklumat yang disalurkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shariffa Sabrina berkata, penubuhan agensi itu juga sekali gus mampu menghentikan kebergantungan terhadap ahli politik tertentu dalam menyelesaikan isu pencerobohan tanah di Cameron Highlands.

“Kerajaan juga harus mempergiatkan aktiviti penanaman semula pokok dan tumbuhan lain seperti yang pernah dilakukan sebelum ini dalam usaha memulihara kawasan tersebut,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya menahan 21 tauke ladang di Cameron Highlands kerana disyaki memberi wang suapan kepada pegawai penguat kuasa.

Katanya, tindakan seumpama itu perlu dilakukan secara berterus­an bagi memastikan isu yang telah lama ‘bertapak’ di kawasan tanah tinggi itu hapus sama sekali.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.