KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan akan meneliti semula peranan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen dalam usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan di persempadanan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas cadangan mengenai perkara berkenaan sedang disediakan kementeriannya dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.
“Kita akan lihat semula peranan yang dimainkan oleh UPP, mungkin ditukar peranan mereka kepada agensi keselamatan persempadanan.
“Ini perlu dibuat. Kertas cadangan sedang disediakan oleh kementerian dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam waktu terdekat,†katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, kerajaan juga berhasrat mengkaji semula perjanjian keselamatan yang telah dimeterai dengan negara-negara yang bersempadan dengan Malaysia khususnya Thailand.
Beliau berkata, langkah itu berikutan pembongkaran isu pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini.
Sebagai contoh jelas beliau, perjanjian Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thailand perlu dikaji semula bagi meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan di sempadan kedua-dua negara.
“Kajian semula ini perlu diberi keutamaan kerana jika dilihat khemah sementara yang dibina di sempadan (Wang Kelian) itu tidak dapat diakses dan dijejaki oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Perkara ini disebabkan kecuraman dan kawasan yang tidak munasabah oleh hukum manusia untuk sampai dari sempadan Malaysia, sebaliknya ia lebih hampir dan boleh dimasuki dari Thailand,†katanya.
Namun begitu beliau berkata, kerajaan berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan pihak berkuasa Thailand sehingga permasalahan itu dapat dirungkai.
Mei lalu, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menambah, kerajaan turut bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh dan Myanmar untuk mengekstradisi rakyat Malaysia yang terlibat dengan pemerdagangan manusia tetapi bersembunyi di negara-negara itu supaya ditahan dan diadili di Malaysia.
“Tangkapan sudah dibuat untuk warganegara Malaysia. Thailand pun sudah tangkap warganegara mereka. Kita akan ambil tindakan undang-undang dan akan mengheret mereka ke mahkamah,†katanya.
Mengenai 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk proses autopsi, beliau berkata, terdapat empat sebab utama kematian mereka.
Katanya, punca kematian itu termasuklah akibat penyakit, kebuluran, penyeksaan dan berkemungkinan dibunuh.
“Mayat pertama yang ditemukan merupakan rangka manusia di dalam kurungan yang dibiarkan sehingga kering. Inilah antara unsur penyeksaan yang dikenal pasti,†katanya.
Sumber : Utusan Online