Bukan hanya berkereta mewah jenis pacuan empat roda tetapi turut memiliki beberapa lagi kenderaan baharu. Dia juga mempunyai rumah besar di kampung malah ke luar negara untuk bercuti bersama isteri dan anak pada setiap tahun.

Jika dihitung, jumlah pendapatan yang diperoleh pegawai kerajaan ini tidak mampu menampung gaya hidup mewah keluarganya dan itu menimbulkan persoalan terhadap sumber kekayaan ’luar biasanya’

Namun apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ‘campur tangan’, didapati gaya hidup si penguat kuasa ini rupanya-rupanya adalah hasil keuntungan sewaktu berkhidmat di sempadan negara.

Menurut satu sumber SPRM, hasil siasatan mendapati, si penguat kuasa ini memperoleh sumber pendapatan sampingan apabila bekerjasama rapat dengan penyeludup barangan di sempadan.

“Gaya hidup mewah penguat kuasa ini adalah salah satu daripada senario yang berlaku dalam kalangan penguat kuasa sempadan yang mengamalkan korupsi ketika menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Dalam satu transaksi yang disiasat SPRM, penguat kuasa ini memperoleh ‘wang ekstra’ sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan daripada satu kumpulan penyeludup di sempadan.

“Bayaran itu diberikan secara konsisten pada setiap bulan kepada penguat kuasa supaya menutup mata ketika aktiviti penyeludupan barangan terkawal dan bersubsidi berlaku di sempadan. Kita juga percaya bukan hanya satu transaksi rasuah yang dikutipnya setiap bulan,” kata sumber, ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, sumber berkata, siasatan turut menunjukkan ada dalam kalangan penguat kuasa datang mengutip sendiri wang tersebut di lokasi yang ditetapkan penyeludup.

“Bayaran itu juga tidak termasuk ‘kutipan tol’ yang diperoleh penguat kuasa ketika melakukan semakan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke dalam negara,” katanya.

Menyentuh tentang soal gaji yang kecil dalam kalangan penguat kuasa di sempadan sehingga menyebabkan berlakunya aktiviti rasuah, sumber SPRM mendedahkan, pendapatan sah yang diperoleh setiap bulan adalah mencukupi.

“Gaji kakitangan kerajaan adalah cukup dan sesetengahnya jauh lebih besar berbanding kakitangan swasta kerana mereka dibekalkan dengan pelbagai elaun sara diri,” katanya.

Sumber : Utusan Online