Setiap orang yang mahu berurusan di jabatan serta pejabat kerajaan tentu sudah faham tentang etika berpakaian yang wajib mereka patuhi sebelum memulakan urusan masing-masing.
Etika cara berpakaian ketika berurusan di jabatan kerajaan bukannya sesuatu yang baharu dan bukan juga peraturan baharu sebaliknya etika itu telah lama dilaksanakan, justeru mustahil rakyat Malaysia tidak mengetahuinya.
Cuba perhatikan jabatan atau pejabat kerajaan antaranya seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan mahkamah, kesemua pejabat berkenaan meletakkan notis etika berpakaian yang sepatutnya diikuti oleh mereka yang mahu berurusan.
Sehubungan itu, tidak sewajarnya seseorang yang mahu berurusan di pejabat atau jabatan kerajaan khususnya di kaunter-kaunter dengan mudah berkata; ‘Oh! saya tidak tahu', ‘Saya tidak pasti' atau ‘Saya tidak sedar' tentang peraturan berkenaan kerana notis tersebut kebiasaannya dipaparkan di pintu-pintu masuk utama.
Dengan saiz notis yang mudah dibaca serta tulisannya begitu jelas, tidak mungkin orang ramai gagal membacanya dengan baik. Apa pun akan terdapat segelintir mahu pun sebahagian daripada mereka yang tidak mengendahkannya.
Lebih malang lagi, mereka yang gagal menepati etika berpakaian itu dibiarkan sahaja melakukan urusan walaupun ‘memedihkan mata', seolah-olah juga notis tersebut hanya sekadar perhiasan.
Sebab itu, ada yang berpandangan seharusnya mereka yang gagal menepati kod etika berpakaiÂan diminta pulang serta dilarang membuat sebarang urusan dan kebenaran hanya diberikan sehingga pihak terbabit menepati serta patuh dengan peraturan tersebut.
Tujuannya supaya kod etika berpakaian ketika berurusan di jabatan-jabatan kerajaan itu sentiasa dihormati, dipatuhi dan kemudian diikuti oleh semua mereka yang berurusan di pejabat atau jabatan kerajaan.
Berdasarkan notis etika yang dipaparkan, mereka yang mahu berurusan di pejabat atau jabatan kerajaan dikehendaki berpakaian sopan serta dilarang sama ada lelaki atau wanita memakai pakai seperti berikut;
- Baju tanpa lengan
- Seluar pendek
- Skirt paras atas lutut
- Seluar koyak
- Selipar
Bagaimanapun, jenis pakaian yang dilarang itu pula sering menjadi pilihan segelintir rakyat negara ini dan sudah semestinya situasi tersebut mengundang rasa kurang senang terutama dalam kalangan petugas-petugas di kaunter.
Ada yang berseluar pendek serta berskirt atas para lutut; ada yang berbaju tanpa lengan; ada yang memakai selipar dan ada yang memakai seluar koyak. Persoalannya, sukar sangatkah untuk berpakaian sopan dan kemas?
Apabila keadaan seumpama itu berlaku, sudah tentu petugas menjadi serba salah sama ada mahu meneruskan urusan atau sebaliknya, sedangkan pakaian mereka jelas tidak mematuhi kod etika ditetapkan.
Jika diminta balik dan memakai pakaian lebih sopan serta kemas, golongan tersebut menuduh pula kerajaan tidak mesra rakyat tetapi sekiranya dibenarkan jelas yang pihak terlibat gagal mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan.
Dalam pada itu, satu sumber ketika dihubungi mengakui keadaan yang berlaku itu dan beliau menegaskan isu tersebut tidak seharusnya berbangkit memandangkan kod etika berkenaan telah lama dilaksanakan di jabatan serta pejabat kerajaan.
Mengulas isu sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, pihaknya juga sedar tentang perkara tersebut dan mahu isu itu diselesaikan dengan segera supaya etika itu benar-benar dipatuhi oleh setiap rakyat Malaysia.
Hakikatnya beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang teguh dengan norma-norma ketimuran antaranya termasuk dalam soal berpakaian.
“Oleh itu CUEPACS meminta setiap rakyat Malaysia prihatin dan peka dengan peraturan ini terutama dalam kalangan generasi muda. Apabila berkunjung ke pejabat atau jabatan kerajaan hendaklah berpakaian sopan dan bukan berpakaian tidak senonoh.
“Berpakaian sopan juga adalah budaya kita yang telah diwarisi sejak dahulu lagi yang seharusnya kita pertahankan. Isunya sekarang kita berurusan dengan pejabat kerajaan dan bukannya pergi ke pasar.
Ujar beliau, paling memeritkan ada dalam kalangan mereka yang berurusan itu berpakaian agak menjolok mata dan situasi itu susah semestinya menimbulkan keresahan sama ada pengunjung-pengunjung lain mahu pun petugas.
Kesimpulannya, seperti mana kata Azih setiap rakyat Malaysia perlu lebih prihatin dan peka dengan kewujudan etika berpakaian tersebut dan bukan hanya melihatnya sebelah mata sahaja.
“Ini acuan kita dan kita tidak mengikut negara lain. Percayalah jika kita menghormati etika berpakaian ini, rakyat akan lebih dihormati sekali gus boleh menaikkan imej negara serta perkhidmatan kerajaan kita,†katanya lagi.
- See more at: http://m.utusan.com.my/rencana/patuhi-etika-berpakaian-di-jabatan-keraja...