KUALA LUMPUR 21 Mei – Seorang penunggang motosikal yang bertindak melarikan diri daripada sekatan jalan raya Op Warta dipercayai keÂrana cukai jalan kenderaannya telah tamat tempoh, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Loke Yew, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Fakhrul Afiq Ab. Hamid yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah pusat bandar ke Cheras bertindak nekad menyeberang melalui pembahagi jalan kira-kira 20 meter dari lokasi sekatan tersebut dijalankan.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa berusia 21 tahun itu apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta Proton Iswara sebaik sahaja memasuki jalan berkenaan.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Cheras cedera parah di kepala dan disahkan mati di tempat kejadian manakala motosikalnya pula tercampak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden S. Markandan berkata, mangsa bertindak melarikan diri daripada sekatan jalan menuju ke arah jalan bertentangan di laluan laju sebelum dirempuh sebuah kereta.
“Semakan mendapati cukai jalan motosikal milik mangsa telah tamat tempoh sejak 2013 dan kesalahan itu dipercayai menjadi punca Muhammad Fakhrul Afiq bertindak melarikan diri.
“Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1997,†katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, dalam sekatan jalan raya Op Warta di Jalan Loke Yew dan Plaza Tol Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) yang dilakukan pasukan trafik Kuala Lumpur, lebih 30 pesalah trafik tegar yang memiliki waran telah ditahan.
Bagaimanapun, pesalah trafik berkenaan tidak ditahan sebaliknya hanya diberikan notis untuk tampil ke balai polis trafik secepat mungkin.
Sepanjang operasi yang bermula pada pukul 10 malam itu, lebih 200 kenderaan diperiksa dan beberapa buah motosikal telah disita.
Sumber: Utusan Online